Friday, July 19, 2013

Zero Hero SE - Bab 6 (Pt 2) Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!



Zero Hero SE
Bab 6 (Part 2)
Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!


“Bisnes abang tentu okey, kan?” tanya Adrina tatkala kami berada di pasaraya. Aku yang sedang membelek-belek kobis berwarna ungu mengangguk.

Alhamdulillah, bisnes abang okey. Tapi abang masih cemerkap dan tak cekap lagi. Mujurlah pelanggan kedai makan itu tak berapa ramai. Yang ramainya ialah orang lain yang datang daripada pejabat-pejabat yang berdekatan.” jawabku kemudian.

“Abang dapat untung?” tanya isteriku pula.

“Ada, tapi abang masih tak pandai menguruskan kos dan keuntungan. Biasalah keuntungan itu tentu belum dapat membayar balik modal pembelian aset-aset. Tapi setakat ini modal pusingan abang tak terjejas.” jawabku.

“Berapa sebiji burger abang jual?” tanya Adrina.

“Kalau yang biasa sama ada ayam atau daging, abang cuma jual seringgit lapan puluh sen saja.” jawabku.

“Murahnya! Boleh ke buat untung kalau macam itu?” tanya Adrina dengan nada kurang yakin.

“Boleh, tapi bukan sekarang. Abang nak main volume (bilangan) dengan kedua burger murah tu. Yang lain-lain macam burger special abang jual pada harga biasa macam yang dijual oleh peniaga lain. Dekat situlah abang dapat tutup balik kos burger seringgit lapan puluh sen tadi dan buat keuntungan.” perjelasku. Adrina menganggukkan kepala tanda memahami strategiku.

“Selainnya kita berserah kepada Allah.” ujarku lagi.

“Ya, sememangnya Allah yang memberikan rezeki kepada kita. Kalau Dia nak beri, tiada siapa boleh menahan. Kalau Dia nak menahan, tiada siapa boleh memberi.” sokong isteriku. Terangkat kedua keningku mendengarkan kata-kata Adrina. Mungkin Ziana Zain juga akan berbuat perkara yang serupa.

“Hebat betul kata-kata Rina tu!” pujiku.

“Bukan Rina yang kata. Rasulullah SAW yang kata.” maklum isteriku. Terdiam aku seketika. Ternyata Adrina benar-benar bersungguhan dalam mempelajari ilmu agama. Malu pula aku kerana isteriku ternyata lebih dalam pengetahuannya daripadaku.

“Abang, Rina petang ni ikut berniaga bersama abang, boleh?” Tiba-tiba isteriku mengutarakan cadangan yang membuatkan jantungku hampir berhenti. Aku merenungnya lama-lama untuk mencari kepastian sama ada Adrina hanya bergurau atau beliau benar-benar serius.

“Kenapa tak boleh pula?” tanyanya dengan perasaan tidak puas hati. Nampaknya beliau benar-benar memahami kehendakku sungguhpun melalui riak air muka sahaja.

“Di lapangan terbang saja Rina dah diganggu bertalu-talu. Malah mat salleh tadi tidak peduli pun akan kenyataan yang Rina dah berkahwin. Rina fikir apa pula yang akan terjadi pada kita kalau ada orang yang obses dengan kecantikan Rina nanti?” tanyaku. Adrina bungkam. Akhirnya setelah lama dalam keadaan begitu beliau mengangguk dengan perasaan berat hati.

“Okeylah! Okeylah! Tapi abang mesti bagi Rina tengok abang daripada jauh.” pintanya seperti budak kecil. Aku yang berasa agak keberatan terpaksa mengangguk tanda setuju.


**************************

Petang itu aku berniaga burger seperti biasa. Pelangganku setakat ini cuma ada tiga orang sahaja dan kesemua mereka membeli burger ekonomi. Banyak masaku dihabiskan untuk berbual dengan pak cik Tow. Ternyata warga tua tersebut begitu kaya dengan pengalaman serta banyak kali telah jatuh dan bangkit kembali dalam perniagaannya.

Taiko! Burger daging special sudah siap.” ujarku sambil meletakkan pesanan yang diminta oleh salah seorang pelanggan setiaku. Beliau jugalah orang pertama yang memesan burger daripadaku pada hari pertama aku berniaga. Lelaki dalam lingkungan usia empat puluhan tersebut bernama Andrew namun beliau menyukai gelaran ‘taiko’ yang kuberikan padanya.

“Thank you.” ucapnya seraya menghulurkan not lima ringgit kepadaku. Aku yang telah bersedia membawa duit kecil segera menghulurkan baki kepadanya selepas itu.

“Thank you, taiko!” ucapku. Andrew ketawa kecil. Aku kembali kepada gerai burgerku. Namun sempat ekor mataku menangkap sesosok tubuh yang berdiri tidak jauh dari kopitiam pak cik Tow. Sosok tubuh yang kurus kering itu adalah milik seorang lelaki berbangsa India yang agak berumur. Dari keadaan beliau yang comot, kotor dan berpakaian compang-camping itu, adalah tidak sukar untukku menelah bahawa beliau ialah seorang peminta sedekah.

Uncle Tow, apa yang dicakapkan tu?” tanyaku setelah melihat si peminta sedekah tadi terkumat-kamit mulutnya meminta sesuatu dariku. Pak cik Tow yang sedang melepak di kaunter bayaran memanjangkan lehernya antara hendak dengan tidak untuk melihat ke arah skop padanganku.

“Hm. Itu India minta sedekah. Dia mau makan. Nanti wa panggil tukang masak kasi dia nasi sama ikan.” jawab pak cik Tow.

“Tak apalah, uncle. Hari ini saya belanja uncle peminta sedekah tu makan. Tadi ada burger saya dah silap buat. Saya bagi sajalah burger tu kepada dia.” maklumku. Aku segera mengambil bungkusan burger yang masih tergantung di gerai dan pergi mendapat si peminta sedekah tersebut. Sebaik sahaja aku mendekatinya, beliau kelihatan agak takut dan seolah-olah ingin melarikan diri.

“Nah, burger. Burger! Makan! Makan!” pujukku. Setelah beberapa ketika memujuknya, akhirnya si peminta sedekah tadi terus merenggut bungkusan burger di tanganku dan dengan pantas melarikan diri.

Uih! Boleh tahan lajunya dia berlari. Macam Usain Bolt.” komenku. Pak cik Tow, taiko Andrew dan beberapa pelanggan lain ketawa mendengarkan jenakaku.


- Tunggu Part 3 -

1 comment:

shisha kazaha said...

bro...bila nk post cita lg??dh lma sgt xpost bro..