Tuesday, July 16, 2013

Zero Hero SE - Bab 6 (Pt 1) Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!



Zero Hero SE
Bab 6 (Part 1)
Airbus A380, Ferrari dan Buggati Veyron milikku, PSY!


Beberapa hari kemudian, setelah menunggu hampir setengah jam akhirnya pesawat airbus A380 yang dinaiki oleh Adrina dan bapa mertuaku tiba. Aku pernah dua kali menaiki pesawat tersebut. Memang hebat. Aku fikir di syurga kelak aku akan meminta pesawat A380 tersebut untukku. Adrina pernah memberitahu tentang ustazahnya yang menceritakan hadis sahih Rasulullah SAW bahawa ada nanti orang yang ingin bercucuk tanam di syurga dan Allah akan makbulkan permintaannya. Jadi tentunya kita boleh minta bermacam-macam lagi selain dari berbudi kepada tanah di syurga. Aku juga berangan-angan untuk meminta koleksi kereta-kereta Ferrari dan Buggati Veyron bila di sana kelak. Tentu bahagia tidak terkata bila dapat memandu selaju-lajunya tanpa perlu merisaukan tentang perangkap hadlaju, risiko kemalangan maut, kos untuk Ron97, membayar tol dan cukai jalan serta insurans. Kawanku yang masuk aliran kesufian berkata adalah syirik kalau kita mengharapkan syurga. Aku bukanlah handal sangat dalam bab agama ini, tapi kalaulah betul syirik untuk manusia mengharapkan syurga, buat apalah Allah menciptakan syurga dan Rasulullah SAW menyuruh kita berdoa meminta syurga Firdaus? Aku agak monyet sarkas pun tak akan berfikir sebodoh aliran tarekat melampau itu.

Lamunanku terhenti seperti Aris Ariwatan tatkala ternampakkan kelibat Adrina dan bapa mertuaku. Mereka melambai-lambai padaku dengan ceria. Aku juga berbuat perkara yang sama. Aku menggesakan diri untuk mendapatkan mereka. Adrina pula terus berlari dan mendakapku erat-erat tatkala tubuh kami bertemu.

I miss you, I miss you, I miss you...” ucap isteriku. Aku senyum. Kedua tanganku perlahan-lahan menjalar ke belakang tubuh Adrina dan memegangnya dengan kemas.

I miss you too, manja.” balasku.

Hey entrepeneur!” sapa bapa mertuaku. Aku ketawa kecil. Jelas terselit perasaan tidak puas hatinya lagi kerana aku masih menolak tawaran untuk bekerja dengannya.

Hey Marlboro Man!” sapaku kembali dengan nada bergurau juga. Bapa mertuaku yang sememangnya macho macam koboi iklan rokok tersebut ketawa besar. Tiba-tiba baharulah aku terperasan bahawa ada seseorang berdiri agak hampir dengan kami. Aku berpaling memandangnya. Beliau adalah seorang warga luar negara yang agak tegap dan kemas penampilannya. Aku mengagak tentu beliau adalah seorang anggota unit beruniform.

Oh, I can see that you’re really not lying about being married. Well, congratulations sir. You’re one lucky guy.” ucapnya padaku. Aku yang agak terpinga-pinga seperti Pingu hanya memandangnya dengan perasaan keliru.

Er, thank you... I guess?” balasku kembali. Lelaki yang pada taakulanku warga Australia berdasarkan slanganya itu tersenyum sebelum melangkah pergi.

“Siapa pula mangkuk tu?” tanyaku dengan perasaan ingin tahu setelah lelaki tadi jauh meninggalkan kami.

Haha! Dia dari lapangan terbang di sana tadi asyik nak mengorat Rina saja. Dia puji Rina cantiklah, Rina lemah-lembutlah. Bila Rina beritahu dia yang Rina dah berkahwin, dia tak percaya. Bila Rina tunjukkan cincin perkahwinan Rina, dia masih tak percaya. Kalau Rina mengadu pada ayah tadi, selamatlah Rina. Tapi oleh sebab ayah sibuk mengurat perempuan Rusia seksi mana entah, langsung tak jadi Rina nak repot. Ayah ni buat orang malulah!” Cerita Adrina diakhiri dengan leterannya terhadap bapa mertuaku. Bapa mertuaku hanya ketawa sambil menggaru-garu belakang kepala. Aku turut ketawa untuk mengurangkan perasaan segan bapa mertuaku.

“Cemburu tak?” tanya Adrina cuba mengumpan emosiku.

“Hm, adalah dalam empat puluh dua peratus.” jawabku sambil tersenyum.

Eleh!” balas Adrina sebelum mencubit manja lenganku. Kami kemudiannya ketawa.


**************************


Setelah makan tengahari bersama, akhirnya kami membawa haluan masing-masing. Bapa mertuaku menumpang kereta seorang wanita yang sangat seksi. Kalau tak silap, wanita tersebut adalah setiausaha sulitnya. Kalaulah tak kerana dicubit oleh Adrina, mahu melekat kedua biji mataku pada peha mulusnya. Aku dan isteriku pula menghala ke arah lain. Aku ingin singgah di pasaraya terlebih dahulu untuk membeli bahan-bahan mentah sebelum pulang ke rumah. Dalam kereta, isteriku itu membebel tentang kelakuan bapa mertuaku.

“Ayah tu dah makin melampau! Entah perempuan murahan mana diambilnya jadi secretary!” omel Adrina dengan suara yang agak keras.

Aik? Rina kata tak baik memaki saudara seagama kita, kan?” peringatku. Adrina terdiam sebentar. Kemudian beliau beristighfar beberapa kali.

“Tapi betul, bang! Perempuan yang jadi setiausaha sulitnya itu bukan tahu apapun! Rina tengok dia cuma usung fail ke sana sini. Lepas itu asyik tonggekkan punggung pada ayah. Itu yang buatkan ayah selalu gelap hati tu!” omelnya lagi. Aku ketawa terbahak-bahak.

“Rina bimbang perempuan tu akan mengikis duit ayah?” tanyaku. Adrina menganggukkan kepala.

“Sepanjang yang Rina kenal ayah, berapa ramai dah perempuan sebegitu yang Rina tengok berkepit dengan ayah?” tanyaku.

“Ramai.” jawabnya.

“Setakat ini bisnes ayah terjejas tak?” tanyaku lagi. Adrina menggelengkan kepala.

“Apa nak buat kita dapat bapa semacam itu. Tapi sungguhpun ayah itu kaki perempuan, dia bukannya bodoh. Dia pernah beritahu abang bahawa apa sahaja yang kita miliki, kita mesti fikirkan cara untuk mendapatkan keuntungan maksimum darinya dan lepaskan pada orang lain kalau kita rugi kerananya.” hujahku. Adrina terdiam sebentar.

“Itu ke sebabnya abang tak mahu terima tawaran bekerja dengan ayah?” tanya isteriku. Perbuatanku yang mendiamkan diri agak lama memberikan isyarat bahawa aku mengiyakan pertanyaannya tadi.

“Pening kepala Rina dapat ayah dan suami yang licik.” rungutnya seraya mencubit lengan kiriku. Aku mengaduh dan ketawa.

- Tunggu Part 2 nanti -

2 comments:

norihan mohd yusof said...

menarik...nak lg...

Si Nami said...

Norihan : Kat atas tu part 2 dah baca? Tunggu part 3 pulak ya? Saya bz ada satu kes untuk rayuan di high court buat masa ni :(