Friday, June 28, 2013

MetroPolis Ep. 3 - Bab 18 (Pt 1) - Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18 (Part 1)
Suram


Dua minggu kemudian...

Nicol Hanany menghirup kopi di dalam termosnya dengan cermat. Beliau kini sedang bersantai di atas bumbung penthouse milik bapanya yang dibina di atas menara Hamka setinggi 213 tingkat. Pada ketinggian tersebut semestinya beliau memerlukan kopi panas untuk membantu melawan kedinginan yang menyengat pada seluruh tubuh. Kehadirannya di situ langsung tidak disedari oleh sesiapa hatta bapanya sendiri. Malah alat keselamatan yang telah dipasang di hampir segenap penjuru penthouse tersebut masih gagal untuk mengesan pencerobohan Nicol Hanany. Kabus yang semakin menebal di bumbung menara tersebut juga telah banyak membantu penyelinapannya. Namun bagi perempuan jelita tersebut, kabus yang tebal itu membuatkan beliau berasa agak gelisah. Tambahan pula kedengaran guruh yang bergerutup sayup-sayup di ufuk barat.

“Tam-tam-tum-tam-tam.” nyanyi Nicol untuk meredakan kegelisahannya. Pun begitu matanya meliar ke sana sini. Beliau nampaknya sedang mencari sesuatu. Atau mungkin sedang menunggukan sesuatu. Sudah hampir setengah jam beliau berada di puncak menara Hamka tersebut. Nicol sebelum itu telah berjaya mematikan keseluruhan sistem penggera canggih pada bangunan tersebut. Pengalaman beliau sebagai penceroboh dan pencuri yang licik ternyata masih lagi berguna.

Tiba-tiba kilat memancar di hadapan matanya. Nicol spontan memejam mata. Tatkala kedua matanya kembali terbuka, sesosok tubuh seorang lelaki yang tegap dan tinggi lampai telahpun tegak berdiri di hadapan beliau. Nicol Hanany dengan spontan berundur. Ternyata lelaki tersebut membuatkannya gementar. Pun begitu senyuman gembira tetap dioles pada bibir Nicol.

“Assalamu ‘alaikum bos!” sapa Nicol Hanany. Lelaki tegap tersebut senyum.

“Wa’alaikum salam, Nicol.” tegurnya. Kabus semakin menebal sehingga meliputi keseluruhan bahagian penthouse bangunan tersebut. Pun begitu, tidak begitu sukar untuk Nicol mengecam lelaki di hadapannya itu sebagai Zoei Bukhary.

************************************

Pada masa yang sama di kubu Organisasi Daulah Maddani, Madinah.

Enbi tidak segan-segan untuk menunjukkan wajah kegelisahannya. Catherine yang amat dicintainya pada hari ini sedang menjalani rawatan pemulihan dalam fasa yang terakhir. Bila-bila masa sahaja beliau akan muncul di bilik menunggu yang telah disediakan untuk Enbi. Sungguhpun berasa gelisah dan teruja untuk bertemu dengan Catherine, Enbi sehingga kini tidak tahu bagaimana untuk bereaksi apabila tiba ke saat itu kelak. Beliau tahu adalah tidak wajar untuk memeluk kekasihnya itu di tempat sebegini. Tiada sepotong ayat pun dirasakan amat sesuai untuk diungkapkan kepada Catherine sungguhpun sudah beribu kali terlintas dalam cepu pemikirannya.

Lagipun tindakan Nazrul yang menerima penyertaan hampir kesemua bekas anggota kumpulan gengster Neon Melambai dan Terendak Biru juga telah membuatkan hati Enbi semakin kacau. Namun beliau tidak memarahi Nazrul kerana baginya itu adalah salah satu strategi terbaik untuk memulihkan kembali kehebatan MetroPolis. Nazrul dan Ganshamdass telah bertindak dengan bijak sekali. Nampaknya Enbi tidak perlu berasa risau apabila melepaskan pucuk kepimpinan syarikat tersebut kepada adiknya itu kelak. Pun begitu beliau tetap berasa tidak sedap hati.

Tiba-tiba pintu bilik menunggu terkuak buka. Enbi tersentak. Jantungnya semakin berdegup keras tetapi senyumannya semakin melebar pula. Perasaan terujanya kembali surut tatkala melihatkan wajah Ren Fairuz yang muncul di jenang pintu.

“Oh, kau rupanya!” ujar Enbi dengan nada dingin.

“Sampai bilalah Enbi nak marah-marah dengan saya? Kasihan saya ini si imam muda yang baik hati.” seloroh Ren.

“Ceh!” balas Enbi. Ren tersenyum. Namun pada senyumannya itu turut memaparkan perasaan beliau yang sebenar.

“Adakah kau berkecil hati?” tanya Enbi setelah menyedari akan senyuman kelat Ren.

“Huh? Oh, tak... tak. Enbi, saya bukan ambil hati sangat dengan sikap Enbi terhadap saya. Saya datang ke sini kerana cik Catherine.” maklum Ren Fairuz. Air mukanya semakin muram. Jantung Enbi tiba-tiba kembali berdegup keras. Wajahnya berasa kebas dan tubuhnya tiba-tiba berasa dingin.

“Ke.. kenapa Ren? Kenapa dengan Cat? Apa yang dah terjadi?” tanya Enbi. Ren bungkam. Beliau memandang tepat ke arah Enbi. Namun bibirnya tak mampu untuk mengungkapkan sebarang bicara.

“Ren...” seru Enbi dengan nada semakin cemas.

“Jangan bimbang, Enbi. Cik Catherine masih menjalani rawatan Kapsul Hydro dan keadaannya adalah sangat baik. Cuma Drakulon mendapati sesuatu yang kurang baik tentang keadaan fizikalnya. Saya tak tahu bagaimana nak memperjelaskan tentang hal ini. Jadi adalah lebih baik kita menunggu sendiri fakta yang sahih daripada beliau sendiri.” maklum Ren. Kata-katanya itu sedikit sebanyak merudumkan kebimbangan Enbi. Namun hatinya masih berasa kurang enak dengan pemberitahuan Ren tentang keadaan fizikal Catherine. Apakah maksudnya itu?


- Tunggu Part 2 nanti -

2 comments:

Minami Kotaro said...

sikitnyer...

Si Nami said...

Minami : Biar sikit tapi agak kerap daripada sekaligus tapi berbulan tak ada entry. Ka-Pow kat aku sendiri!