Sunday, March 10, 2013

MetroPolis Ep. 3 - Bab 16



MetroPolis Episod 3
Bab 16
Ahli Baharu (Bah. 2)



Keesokan harinya...


Tercengang Nazrul melihatkan begitu ramai anggota kumpulan Neon Melambai dan Terendak Biru berkumpul di hadapan balai MetroPolis. Wajah mereka kesemuanya ternyata menggerunkan sungguhpun ada yang bersolek dengan tebal. Dass memegang erat pistol yang tersisip di pinggang. Dengan ketiadaan Red, Nicol, Remy dan Terawez; bukanlah mudah baginya untuk menghadapi musuh yang seramai hampir lima puluh orang ini.

“Aku harap kalian datang ke sini dengan tujuan baik.” ujar Nazrul dengan agak keras. Namun Dass masih mempu mengesan perasaan gementar pada suara tersebut. Beliau selama ini pernah mendengar khabar-khabar angin bahawa pemimpin Terendak Biru yang bernama Monsoon dan pemimpin Neon Melambai yang bernama Erika adalah amat handal. Tentu mereka juga dapat merasai ketakutan pada suara Nazrul. Dass mengeratkan pegangan pistolnya. Matanya memincing ke arah Erika dan Monsoon. Tiba-tiba Erika berpaling memandang ke arah si Pembunuh Satu Peluru tersebut.

“Kuat benar aura membunuhmu, tuan! Sekurang-kurangnya biarlah kami memberitahu hasrat kami sebelum tuan bertindak.” sindir Erika. Dass agak tergamam. Ternyata wanita di hadapannya ini mempunyai keupayaan yang hampir menyamai Terawez. Atau mungkinkah beliau sebenarnya bukannya seorang wanita tetapi lelaki yang nampak cantik bila berpakaian wanita?

“Tuan Nazrul, kami berdua telah membubarkan kumpulan kami dan sekarang ingin menyerah diri kepada MetroPolis.” maklum Erika yang kini berpaling ke arah Nazrul pula. Terlongo pemangku pemimpin MetroPolis tersebut mendengarkan pemberitahuan yang sedemikian.

****************************

Pada masa yang sama di kubu Organisasi Daulah Maddani, Madinah.

Enbi sedang leka merangka strategi pembinaan silo makanan di Dubai tatkala berasakan dirinya didekati oleh seseorang. Beliau yang sedang duduk di suatu sudut dalam kafeteria di kubu tersebut segera mendongak. Terbeliak matanya melihatkan orang yang merapatinya itu.

“Ren!” seru Enbi dengan gembira. Orang yang datang kepada Enbi itu rupa-rupanya adalah Ren Fairuz. Enbi bingkas bangun dan bersalaman dengan Ren. Namun seketika kemudian wajah cerianya berganti dengan perasaan hairan.

“Apa ustaz buat di sini?” tanya Enbi dengan perasaan curiga. Ren Fairuz ketawa kecil.

“Kelam-kabutlah awak ini, Enbi. Beritahulah saya bagaimana keadaan cik Catherine terlebih dulu.” pinta Ren. Mereka berdua duduk kembali ke tempat tadi.

“Dia masih menjalani rawatan. Mereka bubuh Cat dalam sebuah kapsul besar dan memenuhkannya dengan cecair. Cat hanya dapat bernafas melalui tiub yang disumbatkan ke dalam mulut. Menurut doktor, cecair itu adalah ubat untuk menyembuhkan sel-sel dalam tubuh Cat.” jawab Enbi. Perasaan khuatir jelas terpapar pada suaranya. Ternyata hati Enbi benar-benar ikhlas menyintai dan menyayangi Catherine.

“Saya baru mendapat tahu bahawa pendekar Eksekutif Tal Kushaini telah terbunuh dalam pertempuran semalam. Semoga Allah merahmatinya dan memberikan syahid kepadanya. Enbi tentu mengenali Tal Kushaini, bukan?” tanya Ren setelah memaklumkan berita buruk tersebut. Enbi tergamam. Beliau kemudiannya mengucapkan “inaliLlahi wainna ilaihi rojiun” dan mengangguk lemah.

“Tuan Tal Kushaini ialah orang kanan Maharaja Pemancung Angin. Beliaulah yang memberikan ruang untuk saya bekerjasama dengan Organisasi.” jawab Enbi dengan lemah.

“Sangat berat perasaan saya mendengarkan berita ini, Ren.” ujar Enbi lagi. Buat seketika mereka berdua berdiam diri. Tiba-tiba hati Enbi terdetak kembali untuk bertanya.

“Ustaz ini tentu orang Organisasi, bukan?” taakul Enbi. Ren tersenyum lantas mengangguk.

“Saya dah agak dah bahawa ustaz ini bukan sembarangan orang. Tentu ustaz mengenali dan rapat dengan tuan Tal Kushaini, kan?” tanya Enbi. Ren mengangguk.

“Bahkan beliau ialah orang kanan saya, Enbi.” maklum Ren. Enbi terpaku mendengarkan kata-kata tersebut. Wajahnya tiba-tiba menjadi merah padam. Dengan pantas Enbi bangun dan menghayunkan penumbuknya tepat ke muka Ren Fairuz. Maharaja Pemancung Angin tersebut langsung jatuh terlentang. Enbi meluru ke arah Ren, akan tetapi tubuhnya dipegang oleh sesuatu dan dengan pantas beliau dijatuhkan di atas lantai. Rupa-rupanya seorang pendekar berpangkat Eksekutif telah berjaya mematikan serangan Enbi.

“Lind! Jangan!” perintah Ren Fairuz. Pendekar Eksekutif tersebut hanya memakukan pergerakan Enbi ke tanah tanpa sebarang tindakan lanjut.

“Aduh! Sakitnya! Sampai hati Enbi mencederakan seorang imam muda yang baik hati dan dikasihi ramai.” omel Ren sambil menggosok-gosok hidungnya.

“Celaka! Penipu! Kau biarkan kami hidup susah! Kau curi anak-anak buahku! Lepaskan aku! Lepaskan akulah, bodoh!” jerit Enbi dengan marah. Orang ramai mulai mengerumuni kawasan tersebut. Ren bergerak mendekati pemimpin MetroPolis tersebut.

“Enbi, janganlah salah faham. Saya...” Belum sempat Ren menghabiskan ayatnya Enbi telahpun meludah ke kaki seluar sebelah kanan pendekar bertaraf maharaja tersebut.

“Aku akan bunuh kau nanti!” ancam Enbi dengan nada menyinga.

“Kurang ajar betul kau ini. Berani kau menghina seorang Maharaja Emissary. Aku akan ajar kau!” ujar pendekar Eksekutif bernama Lind yang kini berniat untuk mengepak dan mematahkan tangan kanan Enbi. Namun sebelum beliau sempat berbuat demikian, Ren Fairuz telahpun menyentuh bahu Lind dan pendekar tersebut hilang secara tiba-tiba.

“Ramai benar orang yang hilang kewarasan pada hari yang indah ini.” ujar Ren seraya tersenyum. Enbi yang kini tidak lagi dikekang bingkas bangun lantas menerkam ke arah Ren. Namun beliau juga lesap tatkala penumbuknya hampir mencecah muka Ren. Tiba-tiba Enbi muncul beberapa puluh meter dari tempat Ren berada.

“Rasulullah SAW dalam hadis yang sahih pernah menasihati orang yang bertanya kepadanya apakah Islam yang baik agar jangan marah.” maklum Ren Fairuz dengan suara yang agak lantang.

“Kau diam!” pekik Enbi dan kembali meluru ke arah Ren. Namun tatkala beliau menghampiri jarak menyerang Enbi sekali lagi hilang dan muncul di tempat tadi juga.

“Saya digelar juga sebagai pendekar bertaraf maharaja bukan hanya suka-suka, tahu?” maklum Ren. Enbi tidak berkata apa-apa pada kali ini. Namun beliau terus sekali lagi meluru ke arah Ren.

****************************

Pada masa yang sama di Prague, Republic Czech...

Seorang lelaki yang berpakaian kemas tetapi serba hitam sedang duduk dikerusi panjang dengan tenang sambil membaca buku yang agak tebal di sebuah taman rekreasi. Suasana di taman rekreasi tersebut agak tenang dan nyaman tetapi masih tidak sunyi dari dikunjungi oleh orang ramai.

“Wah, buku! Tentu gajimu adalah mahal.” Sekoyong-koyongnya suatu suara gemersik menegur lelaki tersebut. Lelaki tersebut mendongakkan kepala. Nicol Hanany yang berdiri di sisi beliau tersenyum.

“Ya, majikan saya adalah seorang yang sangat pemurah. Mungkin kerana itu ada yang menganggapnya sebagai Tuhan.” balas lelaki tersebut dengan senyuman balasnya. Pada zaman ini hanya orang-orang kaya sahaja yang mampu membeli buku kerana hampir lapan puluh peratus pokok di dunia ini telah dimusnahkan oleh peperangan dan kerakusan teknologi. Nicol kini telahpun melabuhkan punggungnya di sebelah lelaki tersebut.

“Enbi telah beberapa kali pergi ke Dubai tetapi membohongi ahli-ahli MetroPolis akan destinasinya. Di Dubai, tiada langsung bukti beliau menginap di mana-mana hotel, makan atau berlibur di situ.” maklum Nicol sambil memandang ke hadapan seolah-olah mereka tidak berkomunikasi secara terus.

“Dubai bukanlah destinasinya. Ia hanya transit beliau sahaja.” taakul lelaki tersebut.

“Tiada bukti beliau menaiki pesawat terbang lain atau kenderaan awam mahupun sewa.” pertikai Nicol.

“Ada orang menunggunya di sana. Beliau tidak perlu menaiki atau menyewa kenderaan awam.” taakul lelaki itu lagi.

“Enbi mempunyai projek di Dubai. Mungkin beliau tinggal di rumah kenalannya?” taakul Nicol pula. Lelaki itu menggelangkan kepala.

“Orang-orang kami mendapati sebaik sahaja majikanmu tiba di lapangan terbang antarabangsa Dubai, beliau terus lenyap tanpa dapat dikesan. Hanya satu pihak sahaja yang mampu memperdayakan orang-orang kami yang cukup terlatih dalam tugas-tugas pengintipan.” ujar lelaki tersebut.

“Puak haluan kiri yang menentang kalian?” tanya Nicol. Lelaki tersebut menggelengkan kepala.

“Organisasi.” jawabnya pendek. Terbeliak mata Nicol.

“Organisasi; musuh kalian? Biar benar! Takkanlah aku boleh terlepas pandang dengan begitu mudah.” pertikai Nicol seraya ketawa.

“Itu bermakna Enbi tidak mempercayaimu!” balas lelaki tersebut dengan agak keras. Nicol terdiam. Mukanya mencuka masam. Namun kemudian beliau tersenyum dan bangun.

“Aku sudah meletakkan jawatan. Enbi bukan lagi majikanku. Jadi kali ini beliau tidak lagi berwaspada seperti selalu. Beliau tentu tidak menyangka bahawa aku masih mengintipnya.” ujar Nicol sebelum melangkah pergi.

“Tentu Maharaja Adaj membayar upahmu dengan sesuatu yang sangat bernilai.” taakul lelaki tersebut dengan perasaan ingin tahu. Langkah Nicol terhenti. Beliau tersenyum tetapi tidak memalingkan mukanya ke arah lelaki tersebut.

“Ya. Mungkin lebih tinggi dari gajimu selama seumur hidupmu. Tapi aku tidak pula menganggapnya sebagai Tuhan.” sindir Nicol sebelum melangkah pergi.

****************************

Sementara itu di Kubu Daulah Maddani, Madinah...

Enbi tercungap-cungap kepenatan. Entah berapa kali beliau menyerbu dan cuba untuk menyerang Ren Fairuz. Namun setiap kali itu jugalah beliau tiba-tiba kembali ke tempat asal iaitu lebih kurang dua puluh meter jauhnya dari sasaran beliau. Tubuhnya lenjan dibasahi oleh keringat. Tenaganya banyak berkurangan dan tubuhnya mulai mengalami kelesuan. Orang ramai yang tadinya berada di situ telahpun meninggalkan tempat tersebut atas arahan Ren sendiri. Kini hanya mereka berdua sahaja yang berada di tempat itu.

“Karamah asas yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya yang terpilih terbahagi kepada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Pun begitu ada juga individu yang memperolehi Karamah ini bukan dari keempat-empat unsur tadi. Saya adalah salah seorang darinya dan Karamah yang dikurniakan oleh Allah kepada saya ialah kuasa untuk mengalihkan apa sahaja yang wujud dalam dunia ini. Saya digelar sebagai Pemancung Angin kerana saya pernah menewaskan dan mengalihkan seluruh kuasa dan keistimewaan yang ada pada seekor jin unsur angin ke dalam diri saya. Kini saya memiliki keempat-empat kuasa unsur tanah, air, api dan angin dari jin-jin yang amat kuat. Oleh yang demikian saya juga kadang-kala dikenali sebagai si Pembaham Raksasa. Jadi cubalah bertenang sekarang sebelum saya membaham keseluruhan saki-baki tenaga badan yang Enbi ada.” maklum Ren Fairuz yang kali ini mulai bersikap serius. Enbi yang berasa gerun dengan ancaman tersebut akhirnya mengambil keputusan untuk duduk sahaja di atas lantai pejalan kaki tempat beliau dialihkan tadi dan mengangguk tanda menyerah kalah.

- Bersambung -

5 comments:

eija said...

lagi..lagi. .

Anonymous said...

akhirnya yg baru.. oh yeah!!!

Si Nami said...

Maaflah Eija dan Anonymous... Saya terlampau-lampau sibuk sangat dengan firma sendiri dan baby Sarah 'pipipau' selain Damia. Tapi saya cubalah untuk selalu update blog ni. Tapi tak berani janji, ya?

Minami Kotaro said...

lama giler tggu dah nie..huhu

Minami Kotaro said...

lama giler tggu dah nie..huhu