Sunday, February 27, 2011

MetroPolis 2 - Bab 19

MetroPolis Episod 2

Bab 19

Tenang Sebelum Ribut Melanda (Bahagian 2)

Enbi berasa amat cemas sekarang. Baharu sahaja beliau mencerca Maharaja Pemancung Angin; tahu-tahu dua orang wakilnya sudahpun muncul di pejabat Enbi. Tidak mungkin pihak Organisasi memasang peranti pepijat di balai MetroPolis.

“Pasti Remy yang mengadukan hal ini kepada Organisasi. Jahanam! Rupa-rupanya beliau masih berkhidmat dengan Organisasi lagi!” ujar Enbi dalam hati. Hatinya menjadi semakin tidak keruan. Pun begitu, sebaik sahaja kedua wakil daripada Organisasi tersebut muncul di jenang pintu biliknya, Enbi segera membuang ekspresi panik dan gugup di raut wajah.

“Assalamu’alaikum warahmatullah” ucap kedua-dua orang wakil Organisasi tersebut. Ianya adalah ucapan salam yang bermaksud “Sejahtera ke atasmu dan dirahmati Allah”.

“’Alaikumsalam warahmatullah” balas Enbi. Hatinya berasa sedikit tenang melihatkan reaksi ceria dan teguran yang lunak daripada kedua tetamunya itu. Enbi bersegera mempersilakan mereka duduk.

“Nama saya ialah Tal Kushaini. Saya adalah orang kanan Maharaja Pemancung Angin. Bersama saya ini ialah Ardh Ukhrowi. Beliau adalah orang kanan Maharaja Debu Berlian. Minta maaf kerana mengganggu tuan Nizar sekarang.” maklum salah seorang daripada tetamu Organisasi tersebut.

“Tak mengapa. Tak perlu meminta maaf. Saya sebenarnya yang perlu memohon maaf kerana terpaksa meminta kad pengenalan tuan-tuan berdua.” ujar Enbi berbasa-basi. Perasaannya kembali menjadi tidak tentu arah. Tambahan pula apabila mendapat tahu bahawa salah seorang tetamunya itu adalah orang kanan Maharaja Pemancung Angin.

“Tiada masalah. Ini kadnya.” ujar Tal Kushaini seraya menghulurkan kad pengenalannya. Begitu juga dengan Ardh Ukhrowi. Enbi mengambil kedua-dua kad tersebut dan mula mengimbasnya. Seketika kemudian dahinya berkerut. Mukanya pucat serta-merta.

“Rupa-rupanya Tal Kushaini berpangkat Eksekutif manakala Ardh Ukhrowi bertaraf pendekar Emissary.” ujar Enbi di dalam hati.

“Kenapa tuan Nizar? Ada yang tidak kena? Tuan nampak agak pucat.” tanya Tal Kushaini. Enbi menjadi semakin kaget. Ternyata kali ini beliau gagal menyembunyikan rasa takutnya.

“Te.. Tentulah saya berasa panik. Di hadapan saya ini adalah seorang pendekar Emissary dan Eksekutif.” ujar Enbi berterus-terang.

“Oh, itukah? Janganlah tuan Nizar berasa bimbang. Kami tiada niat yang memudaratkan. Malah kami sebenarnya membawa perkhabaran baik buat tuan.” ujar Ardh untuk menenangkan perasaan Enbi.

“Ya. Malah Emissary Golem juga tidak membawa pedangnya pada hari ini. Ini bermakna beliau tidak bercadang untuk memancung kepala sesiapa.” gurau Tal. Tal dan Ardh ketawa. Enbi turut ketawa namun ianya sangat hambar. Tangan kanannya spontan mengurut-urut leher. Hatinya berasa amat lega sekarang.

*********************************

Pada masa yang sama di balai MetroPolis...

“Wah! Awak telah memasukkan wang sebanyak RM70,000, melebihi syer yang dijanjikan. Banyak sangat ini, Nicol!” tegur Nazrul. Nicol Hanany yang sedang membaca majalah di skrin teleholo berpaling ke arah pemuda tersebut seraya tersenyum. Nazrul bagaimanapun tetap memakukan pandangan di skrin komputernya.

“Saya tahu abang awak lebih memerlukan wang untuk projek-projeknya daripada terus-menerus membazir di MetroPolis. Lagipun saya tak menyangka Enbi itu rupa-rupanya amat baik hati dan pemurah. Selama ini dia nampak begitu berkira dengan wang dan sangat kedekut.” ujar Nicol untuk meredakan persoalan yang pasti sedang bermain dalam fikiran Nazrul. Beliau seboleh-bolehnya enggan memberitahu sumber kewangan yang diperolehinya semenjak menyertai MetroPolis.

“Yakah? Kalau begitu awak pun pemurah dan baik hati juga Nicol.” komen Nazrul.

“Perli sayakah?” tanya Nicol dengan nada berpura-pura tersinggung.

“Eh, taklah! Saya memang benar-benar maksudkannya tadi.” perjelas Nazrul bersungguh-sungguh. Nicol tertawa kerana berjaya mengusik pemuda itu. Nazrul berpaling ke arah Nicol dengan muka mencebik. Nicol menjelirkan lidah dan kemudian tertawa lagi.

“Perniagaan apa yang awak buat ini, Nicol? Banyak sungguh laba yang awal dapat.” tanya Nazrul. Matanya kembali tertancap ke skrin komputer. Nicol tidak menjawab. Sebaliknya beliau terus bangun dan menuju ke arah Nazrul serta menarik kolar baju pemuda tersebut.

“Oi! Apa ni?” protes Nazrul. Namun beliau tetap bangun meninggalkan meja komputernya mengikut tarikan Nicol.

“Jom temankan saya bersiar-siar di luar. Bosan sangatlah duduk di dalam balai ini.” saran Nicol. Nazrul masih memprotes. Pun begitu kakinya tetap melangkah mengikuti gadis jelita tersebut.

************************************

Sementara itu...

“Hei Remy? Kenapa masih melepak di rumah? Kau tak mahu bekerjakah? Mengamuk Enbi nanti.” leter Dass di teleholo. Remy yang sedang menaip sesuatu di komputernya terhenti seketika. Beliau memusingkan bangkunya untuk menghadap teleholo tersebut.

“Aku kurang sihatlah Dass.” jawab Remy memberikan alasan yang rapuh.

“Bohong! Nampaknya kau sedang asyik dengan komputer. Pasti kau sedang membuat sesuatu yang jahat lagi.” pertikai Dass. Remy tertawa kecil.

“Memang sebenarnya aku sedang membuat sesuatu yang agak jahat. Aku sedang cuba menggodam sistem syarikat bekas majikanmu.” maklum Remy.

“Woi! Kau gilakah? Tentu mereka akan mengesanmu nanti. Malah perbualan kita di teleholo ini juga akan dikesan.” ujar Dass dengan nada yang agak cemas. Imejnya dalam bentuk tiga dimensi itu nampak mula menggelabah. Remy ketawa terbahak-bahak.

“Jangan risaulah, Dass! Aku telahpun mengubahsuai sistem dalam teleholoku dan MetroPolis. Aku memang mengesyaki bahawa SPMB akan menggodam ke dalam sistem komunikasi syarikat kita. Jadi perbualan kita ini tidak akan dapat dikesan. Sebaliknya aku telah memasukkan lebih dari lima ribu kombinasi program perbualan telefon yang normal dan tak bermakna. Aku telah menggodam rakaman-rakaman perbualan telefon tersebut dari syarikat TeleMy. Ia akan menjadi perisai kepada perbualan sebenar kita dan SPMB hanya akan dapat mengesan perbualan-perbualan palsu tersebut.” perjelas Remy. Wajah Dass di dalam teleholo tersebut ternyata jelas menampakkan perasaan kekagumannya.

“Jadi kau buat apa menggodam sistem SPMB pula?” tanya Dass.

‘Aku ingin memantau aktiviti atau sebarang perkara yang berkaitan dengan kita yang diketahui oleh SPMB. Kalau mereka cuba berbuat sesuatu terhadap kita, kita pasti akan mengetahuinya terlebih dahulu. Pada masa yang sama aku juga sedang cuba mengesan penjahat-penjahat yang dilindungi oleh SPMB atas sebab politik atau rasuah. Kalau mereka enggan berbuat sesuatu terhadap penjahat-penjahat ini, kita sajalah yang pergi menghapuskan mereka semua.” jawab Remy dengan panjang lebar. Dass bungkam seketika. Kemudian beliau ketawa terbahak-bahak bersama Remy.

“Mujurlah kau ini bukan musuhku, Remy. Kalau tidak tentu sukar bagiku untuk menanganimu.” komen Dass. Remy tersenyum. Sebenarnya beliau terfikir akan perkara yang sama juga.

*********************************

Sementara itu di restoran milik Catherine...

“Waah! Inikah gambar isteri Chief? Sungguh cantik orangnya!” komen Catherine. Red Wigwam yang sedang menyantap nasi ayam Hainan ketawa dengan senang hati. Perbuatannya yang akur pada desakan Catherine tadi untuk menunjukkan foto-foto keluarga beliau memang berbaloi.

“Sayang betul isteri saya meninggal dunia terlebih dahulu dari saya. Kalau tidak tentu ramai orang akan meminangnya!” gurau Red. Beliau dan Catherine sama-sama tertawa. Catherine menemaninya untuk makan tengah hari. Gadis ayu itu membuat sendiri bihun sup tulang untuk dirinya. Keadaan agak aman sekarang semenjak peristiwa tentera Organisasi menghentikan Peperangan Triad. Jadi semua anggota MetroPolis dibenarkan untuk membuat aktiviti yang disukai sekiranya mereka tiada syif pada hari itu.

“Tentu Chief pandai memikatnya.” taakul Catherine. Red ketawa terbahak-bahak.

“Sebenarnya saya juga seperti Enbi. Sangat sibuk dengan kerjaya saya sehinggakan tak menyedari isteri saya sedang cuba memikat saya.” maklum Red. Serta-merta muka Catherine menjadi merah padam. Beliau terus menundukkan kepala.

“Cik Catherine, orang macam saya dan Enbi memang jenis yang bodoh dan lembab. Kami tidak akan nampak cinta yang hadir dalam hidup kami sungguhpun ianya sudah berada di depan mata. Jadi cara yang paling baik ialah berterus-terang dengan kami. Isteri saya akhirnya berterus-terang memberitahu saya perasaannya terhadap saya setelah penat berkias dengan saya. Barulah saya tahu.” ujar Red. Ternyata beliau dapat membaca perasaan Catherine terhadap Enbi selama ini. Keadaan di antara mereka menjadi sunyi seketika.

“Tapi... Tapi bagaimana kalau perasaan saya itu ditolak?” tanya Catherine. Beliau masih menundukkan kepala.

“Cik Catherine bolehlah melangkah ke hadapan untuk mencari cinta baru. Kan itu lebih baik dari terus menunggu dan mengharap perkara yang tidak pasti?” jawab Red. Catherine terdiam. Wajahnya masih tunduk. Beliau tidak tahu apakah reaksi yang patut dibuat sekarang.

***********************************

Sementara itu di Bank Enbi Sendirian Berhad...

“Kalian benar-benar serius?” tanya Enbi buat kesekian kalinya. Beliau memerhatikan alat khas yang diaktifkan oleh Tal Kushaini. Alat tersebut mampu menyekat sebarang isyarat peranti pepijat dan alat pengintip.

“Ya, kami benar-benar serius. Organisasi benar-benar berminat untuk membiayai projek tuan Nizar di Dubai dan London.” jawab Ardh. Enbi termenung sejenak. Peluang tersebut memang tidak pernah terimpikan olehnya di saat-saat yang amat genting ini.

“Mengapa tiba-tiba Organisasi berminat dengan projek-projek syarikat saya pula?” tanya Enbi dalam nada menduga.

“Sebenarnya kami bukan berminat dengan projek-projek syarikat tuan Nizar. Kami sebenarnya berminat dengan tuan Nizar sendiri.” jawab Tal.

“Saya? kenapa pula dengan saya?” tanya Enbi.

“Pihak Organisasi tertarik dengan pendirian serta konsep tuan dalam menubuhkan MetroPolis. Orang macam tuan amatlah kami perlukan untuk menjadi sebahagian daripada sekutu kami. Kami sudah lama memerhatikan tuan semenjak perihal tuan membuka pantai buatan percuma tidak lama dulu.” jawab Ardh pula. Enbi bungkam. Nampaknya pihak Organisasi sebenarnya amat mengambil tahu keadaan di Malaysia sungguhpun pada luarannya seperti tidak mempedulikan negara ini.

“Biarlah saya berterus-terang. Saya amat meragui motif Organisasi yang secara kebetulan hadir membantu ketika saya menghadapi masalah. Tentu kamu ada agenda tersembunyi yang enggan kamu kongsikan dengan saya.” ujar Enbi. Matanya tepat meneliti bahasa tubuh kedua tetamunya. Ardh Ukhrowi dan Tal Kushaini berpandangan sesama sendiri dan kemudian kembali memandang ke arah Enbi. Bibir mereka sama-sama mengorak senyuman.

“Kami sudahpun mengagak begitu. Baiklah, kalau begitu kami akan memberitahu tuan Nizar suatu rahsia besar yang berkaitan dengan perkara ini. Tetapi sanggupkah tuan menjamin dengan nyawa tuan sendiri untuk menyimpan rahsia tersebut?” tanya Ardh. Enbi spontan tersandar di kerusi empuknya. Mukanya pucat serta-merta.


- Bersambung -

1 comment:

Abihana said...

Salam,love your e-novel.I'm also just started a novel. Kindly have a visit. I also followed your blog, hope you can follow mine too. Thank you.

-=http://garismasa.blogspot.com=-