Tuesday, August 4, 2009

Metropolis 2009 - Bab 2

Kecewa


Pada masa yang sama di restoran Catherine…

“Enbi nampaknya suka benar dengan bubur resepi baruku. Baik juga kalau aku masakkan lagi untuknya makan malam pula. Dia pasti akan makan pizza yang tak berzat seperti selalu dengan adiknya.” fikir Catherine yang sedang membasuh pinggan mangkuk di dapur.

“Aah! Aku akan masakkan bubur untuk Nazrul sekali. Tentu dia pun akan suka.” fikirnya lagi.

“Cat! Kenapa kau mandikan kucing dalam sinki tu!” teriak ibunya. Catherine tergamam yang sekaligus mematikan lamunannya. Baharulah beliau tersedar bahawa salah seekor kucing yang dinamakannya Rocky dalam keadaan basah lenjun di tangannya dan sedang mengiau-ngiau cemas.

“Rocky! Maafkan kakak!” teriak Catherine dengan nada kesal.

**************************************

“Kenapa mahu merompakku? Aku bukannya orang kaya. Kedai aku sangat selekeh dan berdebu. Barangan yang dijual juga bukanlah benda yang sangat bernilai.”

Begitulah hujah Enbi kepada kelima-lima orang mak nyah tersebut agar mereka membatalkan hasrat untuk merompaknya. Beliau berharap agar kelentongnya menjadi. Kumpulan mak nyah tadi berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka ketawa mengilai-ngilai. Enbi berasa agak tersinggung kerana berasakan mereka seolah-olah mengejeknya.

“Kenapa ketawa? Aku bukannya cakap perkara yang kelakar tadi?” tanyanya dengan nada keras. Hilai tawa para penceroboh tadi mati serta-merta. Pun begitu senyuman sinis masih terukir di bibir mereka.

“Memang benar you ni not much duit. Tapi we all tetap nak merompak you sebab you mangsa yang easy.” balas seorang lagi mak nyah yang gempal dengan bahasa rojaknya. Kononnya mahu menunjukkan bahawa beliau seorang yang terpelajar. Mak nyah tersebut memakai pakaian tube yang jelas kelihatan di sebalik baju jarangnya yang berwarna merah jambu. Muka Enbi berubah serta-merta mendengarkan kata-kata tersebut.

“Mudah? Apa maksud kau?” tanya Enbi.

“Yalah… mudah nak dirompak. Gaya you ni not melawan punya type. Menyerah gitu-gitu ajelah rupanya mak tengok.” jawab si mak nyah tadi kembali. Serta-merta emosi Enbi berubah. Perasaan takutnya kini berganti dengan perasaan marah.

“Jadi maksud kamu, aku ini orang yang lemahlah, ya?” tanya Enbi dengan suara yang bergetar. Menahan amarahnya. Kelima-lima mak nyah tersebut mengangguk serentak bagaikan kumpulan boria. Senyuman sinis mereka masih ditujukan kepada Enbi.

Darah Enbi benar-benar mendidih. Beliau cukup berasa terhina dengan pernyataan mak nyah tadi. Lemah? Mereka menelahnya sebagai seorang yang lemah? Enbi boleh menerima kenyataan kalau mereka ingin menyamun kedainya hingga licin. Namun menuduhnya sebagai seorang yang lemah adalah keterlaluan.

“PONDAN JAHANAM!!!” jerit Enbi seraya menerkam ke arah kumpulan mak nyah tersebut. Salah seorang daripada mereka jatuh terlentang ditolak olehnya. Enbi terus menindih tubuh lawannya seraya bertubi-tubi menumbuk muka mak nyah tersebut.

“Aww!!! Sally! Sally! Tolong akuuu!!!” pekik mak nyah tersebut dengan suara garau. Baharulah keluar suara jantannya kali ini.

“Jangan ingat aku ini lemah!” jerkah Enbi. Kedua-dua tangannya kemas mencengkam batang leher lawannya.

“TANGG!!!”

Kepala Enbi terasa berpinar-pinar tiba-tiba. Telinganya berdengung. Pasti belakang kepalanya telah dihentak dengan suatu objek yang keras. Menyusul pula satu hentakan tepat ke rusuk kanannya. Tubuh Enbi melayang ke arah sebuah rak peragaan kad-kad eksotik. Berderai kaca rak peragaan tersebut dihempas oleh tubuh pemiliknya.

“Honey, tak baik memukul seorang wanita yang lemah, tau? Mak you tak ajar ke perkara-perkara begini?” leter mak nyah berbadan gempal tadi. Kedua-dua tangannya sedang memegang sebuah tong sampah besi yang kemik. Sahih bahawa kepala Enbi telah dihentak dengan tong sampah tersebut.

“Bangsat! Jangan kau mencerca ibu aku pula. Lagipun bila pula aku memukul wanita lemah? Aku cuma membelasah lelaki hodoh yang perasan dirinya perempuan,” sindir Enbi seraya ketawa kecil. Mulutnya terasa masin dengan kehadiran darah di bibirnya yang pecah. Darah juga meleleh turun melalui kecederaan di belakang kepalanya. Badan Enbi pula dipenuhi dengan liang-liang luka kecil akibat diguris oleh serpihan-serpihan kaca rak peragaan tadi. Enbi cuba bangkit, namun tubuhnya terasa kebas dan lemah. Kesakitan di rusuk kanannya juga turut membantu mengekang keupayaannya untuk bergerak.

“Amboi… Bisanya muluuut. Macam perempuan! If I follow my heart, hiiii… Mau aku cili-cilikaaan mulut engkau tu,” herdik mak nyah gempal tadi dengan nada marah. Ternyata beliau berasa bengang dengan kata-kata Enbi tadi.

“Pergi mampuslah kau, pondan gemuk. Meluat aku tengok muka hodoh kamu semua,” cerca Enbi dalam keadaan tercungap-cungap. Kemudian beliau tertawa terkekeh-kekeh untuk menaikkan darah mereka.

“Jantan sial! Mampus kau!” bentak mak nyah gempal tadi. Beliau terus meluru ke arah Enbi yang masih mengerekot di atas lantai lantas menendangnya berkali-kali dengan sekuat hati. Rakan-rakannya turut sama bergotong-royong membelasah Enbi. Namun Enbi masih tetap tertawa tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami olehnya.

***********************************************


Setelah hampir setengah jam kemudian, akhirnya Catherine siap memasak resepi bubur baharunya. Beliau segera membungkus bubur tersebut dalam sebuah bekas penebat haba.

“Mama! Saya nak pergi menghantar makanan kepada Enbi, ya?” teriak gadis manis tersebut kepada ibunya yang hampir siap mengeringkan Rocky. Catherine segera menuju ke pintu utama melalui kawasan para pelanggannya makan.

“Hai Catherine. Bekal makanan itu untuk pak cikkah?” usik salah seorang pelanggannya. Beliau adalah salah seorang pelanggan setia dan lebih mesra dipanggil sebagai Uncle Hooi.

“Hai Uncle Hooi. Bubur ni untuk Enbilah. Nanti saya buatkan yang lain untuk Uncle Hooi, okey?” maklum Catherine. Uncle Hooi merengus dengan gaya bergurau.

“Buat apa kau masakkan untuk budak itu? Dia tu sangat kedekut, tau?” kutuk Uncle Hooi.

“Heh! Tak baik tuduh Enbi begitu. Dia bukan sangat kedekut. Dia itu sangat kedekut dan berkira, tau?” ujar Catherine. Mereka berdua tertawa besar. Catherine kemudiannya meminta izin untuk menamatkan perbualan dan bersegera ke kedai Enbi.

“Hai Enbi! Saya…” Kata-kata ceria Catherine mati serta-merta tatkala menjengah ke dalam kedai Enbi. Gadis tersebut bungkam seketika. Keadaan kedai Enbi yang berselerak dan dipenuhi dengan serpihan kaca dan darah benar-benar membuatkan degupan jantungnya menjadi kencang. Catherine meliarkan matanya memandang sekeliling. Sepasang mata beliau akhirnya terpaku ke arah kaki seseorang. Dari kasut empunya kaki tersebut, Catherine dapat mengecamnya.

“ENBI!!!”

**************************************


“Enbi! Enbi! Enbi! Dengar tak? Enbi!” Perlahan-lahan Enbi membuka mata tatkala mendengar suara lunak yang seakan-akan merayunya. Seorang gadis yang jelita sedang menatapnya dengan riak penuh pengharapan. Usapan serta sentuhan jari-jemarinya di muka Enbi terasa begitu lembut dan hangat sekali. Pasti beliau seorang bidadari.

“Cik bidadari; saya ada seorang kawan yang semirip dengan muka cik bidadari.” ujar Enbi dengan suara yang lemah. Si bidadari tadi tersenyum mendengarkan kata-katanya. Namun usapan jari-jemarinya yang lunak tadi masih berterusan. Hati Enbi berasa begitu tenang sekali kini.

“Dia meroyan lagilah,”

“Bukan meroyanlah, bodoh! Meroyan tu penyakit perempuan lepas beranak. Dia mamai lagilah. Dia ingat ini syurga agaknya?”

“Enbi, awak okey?” Suara lunak tadi kembali menggantikan suara-suara sumbang tersebut.

“Cat?” tanya Enbi dengan nada yang masih lemah. ‘Bidadari’ tersebut menganggukkan kepala. Senyuman leganya masih tidak lekang di bibir. Enbi membalas senyuman tersebut lantas kembali memejamkan matanya.

*******************************************


6 hari kemudian…

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menemaniku, Cat!” ujar Enbi sambil tersenyum sumbing. Bibirnya yang pecah masih terasa sakit. Beberapa orang anggota polis yang lalu-lalang di hadapannya sempat mengerling. Memang keadaan Enbi kelihatan amat teruk. Balutan kain kasa di tubuhnya tidak ubah seperti mumia. Enbi memfokuskan pandangannya ke sekeliling balai polis yang julung-julung kali dilawati olehnya semenjak kematian bapanya. Terdapat tiga belas kaunter di balai polis tersebut. Hiasan dalamannya sangat mewah dan canggih serba-serbi. Karpetnya sungguh tebal dan empuk; seperti tempat duduk menunggu mereka juga. Malah terdapat beberapa gadis yang agak seksi melayan serta menghidangkan teh dan makanan ringan kepada orang ramai yang sedang menunggu untuk membuat repot. Semenjak bidang kepolisan dikorporatkan 40 tahun lalu, begitu drastik perubahannya dari segi perkhidmatan dan layanan.

“Nombor 1109; kaunter 6!” Sebaik sahaja nombor giliran tersebut diumumkan oleh suara gemersik di corong pembesar suara, Enbi dan Cat segera bangkit daripada kerusi empuk dan menderapkan langkah ke kaunter 6. Seorang pegawai polis lelaki berpangkat Konstabel menyambut mereka dengan senyuman manis yang dibuat-buat. Enbi sempat lagi mengerling ke arah jam Rolex koleksi musim luruh terkini di tangan kiri anggota polis tersebut. Ianya barangan asli.

“Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Buat makluman tuan, kadar tarif kami bagi masa membuat laporan telahpun dipinda. Ianya mendapat persetujuan dari Kementerian Perdagangan dan Hal-Ehwal Pengguna Malaysia dan diendorskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” maklum Konstabel tersebut seperti menerangkan harga promosi telefon mudah alih.

“Kadar tarif baru? Apa maksud awak?” tanya Enbi. Matanya memicing. Hatinya berasa kurang sedap.

“Sebelum ini, kami mencaj setiap pelapor RM200 sahaja sejam bagi waktu kemuncak iaitu dari jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi; dan caj RM150 sahaja sejam bagi waktu biasa iaitu dari jam 7.01 pagi hingga 6.59 malam. Kini kami mencaj setiap pelapor RM400 sahaja sejam bagi waktu kemuncak iaitu dari jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi; dan caj RM300 sahaja sejam bagi waktu biasa iaitu dari jam 7.01 pagi hingga 6.59 malam,” jawab Konstabel tersebut seolah-olah telah menghafal skripnya dengan baik.

“Apa? RM300 sejam? Kau sudah gilakah?” Bentakan Enbi membuatkan semua mata di balai polis tersebut tertumpu ke arahnya. Catherine segera menenangkan sahabat baiknya.

“Biasalah, tuan. Takkan tuan tidak pernah membuat laporan polis sebelum ini?” tanya Konstabel tersebut. Pandangannya seolah-olah mengejek Enbi.

“Ini kali pertama,” balas Enbi seolah-olah mengulum ayatnya sendiri. Mukanya menjadi agak merah kerana menahan segan.

“Kalau begitu, saya perlu beritahu tuan caj-caj lain dalam proses membuat laporan. Tuan juga perlu membayar caj sebanyak RM50 sahaja untuk mengisi borang laporan, RM70 sahaja untuk diproses dan dihantar ke Kementerian Dalam Negeri, RM500 sahaja untuk membuka fail kes, RM1,000 sahaja untuk penyimpanan fail, RM2,000 sahaja untuk kos pengurusan kes, RM400 sahaja untuk menyerahantar laporan ke pihak insurans bagi kes-kes tertentu, RM500 sahaja untuk kos penangkapan bagi seorang penjenayah atau orang yang disyaki, RM1,000 sahaja untuk kos lokap dan reman bagi seorang penjenayah atau orang yang disyaki, RM3,000 sahaja untuk membuat pendakwaan ke atas penjenayah atau orang yang disyaki dan RM2 sahaja untuk mendapatkan salinan laporan,” Terbeliak mata Enbi mendengarkan caj-caj yang perlu dibayar olehnya. Spontan tubuhnya tegak berdiri.

“Hoi! Aku ini telah dirompak enam hari lalu. Sekarang aku dirompak pula di sinikah?” tanya beliau dengan keras. Namun seketika kemudian Enbi menyeringai kesakitan natijah daripada perbuatannya tadi. Nyata kecederaan beliau masih belum pulih.

“Jaga pertuturan tuan itu. Ini adalah balai polis. Tempat yang dihormati atas jasa-jasa kami menjaga dan mengekalkan keselamatan serta keharmonian rakyat.” balas Konstabel tersebut dengan nada tersinggung.

“Kepala otak kamu! Menjaga keselamatan dan keharmonian konon! Kamu kenakan bayaran kepadaku lebih kurang RM14,000 untuk suatu rompakan dan kerugian yang tidak sampai RM2,000. Tidak habis-habis menyebut perkataan ‘sahaja’ seolah-olah caj kamu murah dan berpatutan. Tapi kamu sebenarnya mengambil kesempatan ke atas orang awam yang memerlukan bantuan kamu untuk membuat keuntungan yang tidak munasabah. Patutlah pangkat cabuk macam kamu ini pun mampu memakai jam Rolex. Kamulah sebenarnya yang menindas rakyat. Perompak besar!” cerca Enbi dengan perasaan berapi-api. Marah benar beliau nampaknya. Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat kedekut. Orang ramai di dalam balai tersebut mula menumpukan perhatian mereka ke arah kaunter 6. Catherine hanya membisu seribu bahasa. Beliau memang telah sedia maklum akan sikap baran sahabat baiknya itu. Namun dalam masa yang sama Catherine juga berasa agak marah dengan caj-caj yang mengarut tersebut.

“Saudara, dalam dunia sekarang, mana ada yang percuma! Kalau tidak mampu, lain kali jangan datang ke sini dan membuang masa saya.” ujar Konstabel tadi dengan agak keras seraya menekan butang biru di atas mejanya.

“Nombor 1113; kaunter 6!” Gema di corong pembesar suara menunjukkan bahawa Konstabel tersebut enggan berurusan lagi dengan mereka. Seketika kemudian muncul seorang pak cik berkot mahal di belakang mereka.

“Harap maaf, saya perlu melayan pelanggan lain. Sila beredar sekarang,” pinta Konstabel tadi dengan agak kasar dan sinis. Enbi yang masih merenung tajam ke arah anggota polis tersebut segera dipapah bangun oleh Catherine. Mereka beredar.

“Hoi orang miskin! Kau ingat kami nak tolong kau secara percuma ke? Kau dah gila agaknya!” teriak salah seorang anggota polis yang sedang melepak di situ seraya disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya. Enbi dan Catherine terus melangkah menuju ke arah pintu keluar tanpa berhenti atau memaling ke belakang.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” teriak seorang anggota polis yang lain. Rakan-rakannya kembali menyambung ekor tawa mereka.

**************************************

“Enbi, awak okey tak?” tanya Catherine sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari balai polis tersebut. Enbi masih tidak bersuara. Beliau meleraikan tangan Catherine yang memapahnya dan terdengkot-dengkot bergerak menuju ke arah kereta. Catherine mengekori Enbi. Tiba-tiba Enbi memegunkan diri. Hampir sahaja Catherine melanggarinya.

“Kenapa Enbi?”

Enbi tidak menjawab. Pandangannya terlontar ke arah kereta-kereta Mercedes, BMW, Pontiac, Ferrari, Lamborghini dan Jaguar yang diparkir di hadapan balai polis tersebut. Kesemua kereta mewah tersebut mempunyai pelekat logo ‘Polis’ di bahagian cermin hadapan. Enbi berpaling pula ke arah balai polis tersebut. Matanya meneliti papan tanda yang tertancap tulisan ‘Syarikat Polis Malaysia Berhad - Cawangan Medan Gopeng Ipoh’. Serta-merta air mata Enbi beruraian membasahi pipi.

“Aku benar-benar kecewa, Cat. Aku benar-benar rasa kecewa. Aku tahu aku ini kedekut dan berkira. Tetapi apa yang pihak polis buat sekarang ini adalah sangat teruk dan menindas rakyat yang miskin. Aku sangat kecewa dengan polis kita di zaman ini. Dulu bidang kepolisan adalah institusi yang dipandang tinggi oleh rakyat kerana mereka memberikan khidmat tanpa mengharapkan sebarang balasan atau mengenakan bayaran yang bukan-bukan. Namun semenjak ia diswastakan, dikorporatkan dan disenaraikan di bursa saham, polis adalah suatu badan kapitalis yang mengaut keuntungan berlipat-ganda daripada kita. Siapa yang mahu bergaji besar, memakai aksesori mahal-mahal dan berkereta mewah, maka sertailah bidang kepolisan. Kini tiada siapa peduli akan penderitaan dan kesusahan rakyat yang miskin dan tidak berkemapuan.” ujar Enbi dalam nada tersekat-sekat. Catherine hanya berdiam diri. Namun telapak kanannya menepuk-nepuk belakang Enbi dengan lunak untuk menenangkannya.

********************************************

Sudah hampir dua jam Enbi duduk termenung di meja makan restoran Catherine. Beliau benar-benar rasa terpukul dengan kejadian tadi. Nasi bubur yang dihidangkan oleh Catherine masih belum terusik; sungguhpun ianya percuma. Catherine yang sangat memahami sahabatnya hanya duduk di sebelah Enbi tanpa sepatah bicara. Memadai dengan menemani Enbi akan menenangkannya. Tiba-tiba gadis manis tersebut mendapat suatu idea.

“Enbi, jom ikut saya.” ajaknya. Enbi merenung muka sahabatnya dengan pandangan kurang senang. Kemudian merengus.

“Alaa… jomlah ikut saya.” desak Catherine.

“Aku tengah sakitlah ni!” bentak Enbi. Ternyata anginnya kurang baik sekarang.

“Awak ni lelaki. Malulah kalau cakap begitu.” usik Catherine dengan nada provokasi. Enbi yang berasa bengang dengan ungkapan tersebut segera bangun dari tempat duduknya. Taktik Catherine nampaknya telah berjaya. Mereka berdua seiringan melangkah keluar. Pada masa yang sama seorang wanita bersama anaknya yang berumur lebih kurang 6 tahun melangkah masuk.

“Maak! Hantuu! Hantu mumiaa!!!” teriak budak tersebut seraya menangis teresak-esak. Si ibu tadi segera memeluknya dengan penuh kasih sayang.

“Kurang ajar punya budak.” rungut Enbi perlahan. Wajahnya semakin mencuka. Catherine tertawa kecil melihatkan senario tersebut.


********************************************

“Oh! Rupa-rupanya kau nak bawa aku ke sini.” Enbi menghadiahkan senyuman tawar kepada sahabatnya tatkala dibawa ke tepi pantai buatan di Jelapang. Tempat tersebut agak sunyi. Mungkin kerana hari ini hari bekerja dan cuacanya agak panas. Kelihatan ombak yang dijanakan oleh mesin berdesir-desir bunyinya menuju ke tepian pantai tersebut. Horizon saujana mata memandang dihadapan mereka cumalah ciptaan hologram semata-mata. Pada zaman ini kesemua tujuh lautan di muka bumi ini telah teruk dicemari dengan sisa toksik hasil tangan manusia yang sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi ini. Jadi untuk menikmati kembali apa yang telah ditarik balik oleh si Pencipta, manusia terpaksa mencipta pantai mereka dengan kos yang amat tinggi. Inilah balasan atas apa yang mereka lakukan terhadap alam semulajadi selama ini.

“Enbi nampak tertekan sangat. Jadi saya bawa Enbi ke sini untuk tenangkan fikiran.” balas Catherine. Mereka berdua melabuhkan punggung di atas sebuah hamparan yang disediakan khas untuk para pengunjung.

“Yalah! Polis-polis celaka tu sudahlah tak mahu menolong, mengejek-ejek aku pula. Kalau aku ini ketua gangster, dah lama aku bakar balai itu!” ujar Enbi dengan nada bengang.

“Ha! Marah lagi! Marah lagi! Nanti cepat dapat sakit jantung baru tau.” tegur Catherine. Enbi segera mengendurkan emosi marahnya. Dalam hidupnya, hanya Catherine sahaja yang boleh menegur atau mengkritiknya. Entah mengapa beliau sanggup menerimanya. Walhal ahli keluarga Enbi sendiri tidak berani berkata apa-apa. Mungkin kerana Catherine sering memberinya bubur nasi percuma.

“Aku peliklah dengan manusia zaman ini. Semuanya kena pakai duit. Nak menolong orang lain pun mesti ada upahnya. Masyarakat kita sekarang sudah pincang dan rosak sama sekali. Kemajuan yang kita ada sekarang semakin mengeraskan hati manusia. Semuanya mementingkan diri sendiri.” rungut Enbi meluahkan isi hatinya.

“Enbi tak macam itu.” balas Catherine.

“Heh! Akulah manusia paling teruk sekali, tau? Sudahlah kedekut; amat berkira pula tu. Malah dengan keluarga sendiri pun aku tak bagi muka. Kau ingat aku tak tahu ke mereka semua mengutuk aku selama ini kerana perangai buruk aku ini?” ujar Enbi.

“Ha! Betul! Betul! Saya pun ada kutuk Enbi!” maklum Catherine. Enbi yang berasa geram terus menyiku lengan sahabatnya itu. Catherine pura-pura mengaduh dengan nada manja.

“Tapi pantai ni Enbi yang beli, kan? Kononnya Enbi beli sebab tak mahu bayar fee kemasukan yang mahal. Tapi Enbi sebenarnya membeli pantai ni sebab nak bagi penduduk Ipoh beriadah di sini dengan percuma, kan?” tanya Catherine. Enbi terdiam. Mukanya menjadi agak kemerahan.

“Enbi juga membeli tanah di Gunung Rapat seluas satu ekar dengan harga yang sangat tak munasabah dengnn alasan Enbi bencikan syarikat Setia Makmur yang juga membida untuk tanah tersebut. Tapi sebenarnya Enbi nak mengelakkan rumah anak yatim di tanah tu dirobohkan untuk membuat hotel lima bintang, kan? Malah Enbi membina semula rumah anak yatim yang buruk itu untuk menyakitkan lagi hati syarikat musuh Enbi tu. Itu pun alasan saja, kan?” tanya Catherine. Sahabatnya itu masih diam seribu bahasa.

“Enbi juga menubuhkan bank perdangangan sendiri atas alasan kehilangan tiga ratus ringgit dalam akaun. Tapi sebenarnya Enbi menolong ramai peniaga kecil-kecilan yang nak meminjam untuk modal berniaga mereka, kan?” tanya Catherine lagi.

“Cukuplah tu, Cat.” ujar Enbi dengan nada perlahan.

“Mungkin betul masyarakat kita sekarang sudah terlalu mementingkan wang dan barangan material duniawi. Tetapi kami perlukan orang macam Enbi. Orang-orang macam Enbi yang mampu membuka mata dan hati kami untuk tidak mementingkan diri dan wang semata-mata dalam dunia ini.” ujar Catherine.

“Manisnya kata-kata kamu ni Cat. Buat aku bersemangat semula.” komen Enbi. Kedua-dua mereka tertawa.

“Nantilah kamu, Syarikat Polis Malaysia Berhad. Aku akan balas balik sikap kurang ajar kamu padaku.” ujar Enbi dengan geram.

“Ha! Mulalah tu! Mereka tu macam tentera di Malaysia, tau? Takkan nak mencari pasal dengan mereka pula.” omel Catherine.

“Aku tetap tak puas hati. Ada ke patut suruh aku buat syarikat polis sendiri kalau nak perkhidmatan percuma. Celaka!” maki Enbi lagi. Cemuhan salah seorang anggota Syarikat Polis Malaysia Berhad masih terngiang-ngiang di cepu memorinya.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” Cemuhan tersebut bagaikan kotoran degil yang gagal dikikis di dalam sanubarinya.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” kata-kata tersebut berulang-ulang terngiang di fikirannya.

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!”

“Kalau hendak percuma, buatlah syarikat polis sendiri!” Sekonyong-konyong Enbi tegak berdiri, menyentakkan lamunan Catherine.

“Cat,”

“Apa dia, Enbi?” tanya Catherine dengan agak cemas. Jawapan tidak segera diberi oleh Enbi. Sebaliknya beliau tegak memandang ke arah horizon hologram yang indah tersebut.

“Aku mahu tubuhkan syarikat polis sendiri!” ujar Enbi akhirnya. Catherine terlongo. Nampaknya Enbi mahu melakukan sesuatu yang gila lagi…


- bersambung -

2 comments:

izan iz said...

bagusnye cerpen cikmie.........

si nami said...

Hai Izan. Macam mana life di UDM? Thanks for your comment.