Sunday, February 15, 2009

Emo Hero Bab 35

Emo Hero Bab 35



Telah dua hari berlalu semenjak perihal perpindahan Adrina ke Milan, Itali sampai ke pengetahuanku. Fikiranku benar-benar buntu. Perutku asyik berasa senak, lebih-lebih lagi jika terserempak dengan Adrina. Kalau terserempak dengan Diana Danielle tak apa.

“Morning, Arip!” Alamak! Itu suara Adrina. Serta-merta perutku menjadi senak. Aku berpaling ke belakang. Senyumanku yang kelat terpaksa diberikan kepada sahabatku itu.

“Apa pasal senyum teruk macam tu? Nak terberak ke?” tanya Adrina seraya tertawa.

“Sebenarnya perut aku rasa senak. Tapi tak mau pulak buat sebarang pelaburan.” balasku dalam sulaman jenaka. Namun Adrina tidak tertawa kali ini. Matanya tertancap ke arahku seolah-olah cuba membaca fikiran.

“Eh, are you mentally undressing me?” tanyaku dengan nada melawak. Adrina menjelirkan lidah tanda tidak menyukainya.

“Arip nampak tension la…” komennya.

“Apahal pulak kau cakap aku macam tu?” pertikaiku.

“Arip guna perkataan ‘aku’. Tak ingat?” tanyanya kembali. Aku baharu la teringat bahawa Adrina telah mengetahui jika aku menggunakan perkataan ‘aku’ ketika berbual dengannya, maknanya aku sedang dalam emosi yang tidak baik.

“Aku okey. Jangan fikir yang bukan-bukanlah! Jom kita masuk ke bilik kuliah. Nanti bising pulak Prof Aishah.” Aku segera mematikan topik perbualan yang ingin diketengahkan oleh sahabatku itu. Malah aku segera melangkah pergi ke arah bilik kuliah untuk mengelakkannya secara mutlak.

*************************************************
Dua jam selepas kuliah…


“Ku merenung dan merindu. Jelas untukmu kasih. Hanya untukmu. Yakin aku hampiri dirimu yang semakin jauh. Yakin kamu menanti diriku yang sering keliru. Kan kutuju. Kan kutuju. Dan di situ. Halalkanlah aku.” Aku menyanyikan lagu Nitrus bertajuk Cinta dengan penuh perasaan. Wadi yang duduk setentang denganku hanya menjeling. Beliau ditemani oleh buah hatinya si Wawa. Kami bertiga kini sedang melepak di luar perpustakaan Fakulti Undang-Undang.

“Wei, bro! Dah la dari tadi kau senyap saja. Ni apahal layan emo sangat ni?” tanyanya dengan nada yang agak bimbang.

“Suara Arip best la. Tapi macam bunyi tension aje.” komen Wawa pula. Hmh! Ikut aje la apa yang boyfriend kamu cakapkan. Macam burung kakak tua.

“Lechum! Lechum! Lechum ulalaa! Burung kakak tuaaaa!!!” nyanyiku pula. Wadi menggelengkan kepala. Sekoyong-koyongnya kami dihampiri oleh Nizam pula. Di tangannya tergenggam sekeping coklat. Uii… Cadbury perasa kacang Hazel. Kegemaran aku tu!

“Yo!” tegur Nizam.

“Hai!” balas Wadi.

“Hai Nizam.” sapa Wawa pula. Aku hanya mengangkat tanganku dengan lesu.

“Apahal mangkuk tu?” Nizam mengutarakan soalannya kepada Wadi tetapi ditujukan kepadaku. Pemuda berketurunan Melayu-Jawa tersebut menggelengkan kepala. Macam ala tarian Jaipong pulak! Lagipun berani Nizam kata aku ‘mangkuk’? Aku spontan menunjukkan isyarat tangan lucah ke arahnya. Wawa menggelengkan kepala.

“Waa… Junior perempuan bagi coklat kat awak ke, Nizam?” tanya Wawa. Nizam pula menggelengkan kepala. Apahal semua orang nak menggeleng kepala juga ni? Disampuk hantu Ronda si Macan Betawi ke?

“Coklat ni daripada Adrina.” Nizam menghulurkan coklat tersebut kepadaku. Terbeliak mataku. Pada pembungkus coklat tersebut terlekat sekeping kertas kecil yang berlipat rapi. Sekeping nota. Yang enggan diuar-uarkan kepada sesiapa kecuali pada diriku sahaja dari gaya lipatannya. Aku segera menguraikan lipatan nota tersebut.

“I’m so sorry :( ” Begitulah tulisan tangan Adrina yang tercoret pada kepingan nota tersebut. Heh… rupa-rupanya sahabatku itu lebih memahami keadaanku sekarang berbanding dengan diriku sendiri.

“Kau bergaduh dengan Adrina ke?” tanya Wadi. Aku menggelengkan kepala. Namun seperti juga tadi, aku tak ingin nak memanjangkan topik perbualan tersebut. Jadi aku terus menceraikan punggungku dari kerusi empuk yang disediakan di luar perpustakaan tersebut.

“Aku nak ke toilet.” ujarku dengan pendek. Suka hatilah sama ada mereka nak mempercayainya atau tak. Aku terus melangkah pergi meninggalkan mereka.

**********************************************

Ketika sedang merayau-rayau tak tentu hala di bahagian pentadbiran, langkahku memegun kerana terserempak dengan Adrina. Kenapa dia berada kat sini juga?

“Arip nak ke mana? Puas Rina cari merata tempat.” omelnya dalam keadaan termengah-mengah. Aku menatap wajah gadis manis tersebut dengan agak lama.

“Arip? Kenapa ni? Arip marah kat Rina, ya? Arip marah kat Rina sebab Rina nak tinggalkan Malaysia, ya?” Bertubi-tubi pertanyaan Adrina dihunjamkan kepadaku. Aku bungkam. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan-soalan tersebut.

“Arip tak nak Rina pergi ke? Kalau Arip tak nak… Rina… Rina tak akan pergi!” ujarnya yang menyentakkan setiap inci tubuhku.

“Kau cakap apa ni? Jangan mengarutlah Adrina! Takkan kau nak korbankan bapak kau demi untuk aku? Kita ni… kita ni kawan aje, tau? Aku bukannya apa-apa pun dalam hidup kau!” bentakku. Adrina terdiam. Ekspresi wajahnya yang terkejut dan gementar membuatkanku berasa kesal kerana meninggikan suaraku tadi.

“Rina… A… Aku minta maaf.” ujarku dengan nada mengendur. Aku terus berpaling dan berlari meninggalkan Adrina. Namun baharu aje beberapa tapak, tiba-tiba aku tersepak kakiku sendiri lantas jatuh tertiarap ke lantai.

“ARIP!” Aku dapat mendengar jeritan Adrina. Pandanganku berpinar-pinar. Aduuii… Malunya aku! Celaka betul! Kuat betul bunyi dentumanku jatuh tadi. Pasal apa kalau dalam filem komedi perkara macam ini dianggap kelakar? Sakit, tau? Setelah beberapa ketika baharulah aku mampu untuk bangun. Adrina dengan segenap kudratnya berusaha memapahku untuk bangun.

“Ya Allah! Mulut Arip berdarah!” teriak Adrina dengan nada cemas. Oro? Patutlah mulutku terasa masin.

************************************************


Telah hampir setengah jam lamanya aku berada di klinik universiti. Aku telahpun dibawa oleh Adrina pergi ke klinik tersebut. Doktor yang merawatku tadi memberitahuku bahawa kecederaan bibirku tidak berat. Cuma bibirku aje yang pecah. Dahiku pula dah membenjol. Kini kami berdua sedang duduk menunggu pembantu doktor memberikan ubat-ubatan.

“Arip, rasa pening lagi tak? Teruk juga dahi Arip bengkak.” Adrina masih lagi menyuarakan rasa kebimbangannya.

“Teruk? Ada cermin tak?” tanyaku. Adrina membuka beg tangannya lantas mengeluarkan sekotak bedak asas. Baharu la aku terperasan beg tangannya jenis Prada. Kaya-raya, sial… Adrina membuka bedak asasnya. Ah! Aku tak teringat pulak ada cermin disediakan sekali pada bedak asas tu. Sahabatku itu segera menghulurkannya kepadaku.

“Thanks.”ucapku. Perasaan kurang selesa dan bersalah masih kuat bersarang di hati ini. Namun aku segera membelek wajahku pada cermin.

“Alamak! Teruknya benjol kat dahi aku ni! Macam askar Klingon la!” komenku. Namun Adrina tidak ketawa dengan jenakaku kali ini. Aku spontan berpaling ke arah sahabatku itu. Matanya tajam memaku ke mataku. Ternyata beliau berasa marah terhadapku. Aku mengambil keputusan untuk tunduk memandang ke lantai dan mendiamkan diri.

**********************************************


Setelah mengambil ubat, Adrina menghantarku pulang dengan kenderaannya. Aku telahpun menghantar SMS kepada Nizam untuk memaklumkan bahawa aku tak akan menghadiri kuliah Undang-Undang Jenayah Islam dan terus balik ke hostel. Dalam perjalanan kami langsung tidak bercakap. Akhirnya kami tiba ke destinasi yang ditujui. Namun kami berdua masih berdiam diri seribu bahasa.

“Rina… Ingat lagi ke tak lama dulu masa saya gunakan kereta Nizam untuk tumpangkan Rina balik? Masa tu hujan lebat. Ingat tak?” tanyaku seraya memandang ke arah Adrina. Gadis tersebut hanya mendiamkan diri dan memandang ke hadapan. Aku spontan kemudiannya memandang ke hadapan. Manalah tau kot-kot Adrina tengah usha awek cun mana kat hostel aku ni. Nak la tumpang sekaki. Eh! Itu perangai si Shaleen. Silap orang!

“Rina ingat tak kita singgah kat kafe dan Rina belikan saya burger?” tanyaku lagi.

“Arip masa tu sangat-sangat menyakitkan hati Rina. Macam sekarang.” jawab Adrina tiba-tiba. Wah la toi! Masih membara lingkaran api pasifik kemarahannya!

“Hm. Ya. Macam sekarang. Dulu situasinya pun lebih kurang sama macam sekarang juga. Kita dalam kenderaan. Tak berapa mahu bercakap.” ujarku dengan perlahan. Buat seketika kami berdua hanya mendiamkan diri.

“Cuma ada sikit yang berbeza. Sekarang saya pulak di tempat Rina masa dulu tu. Barulah saya tau macam mana perasaan Rina sekarang.” ujarku lagi.

“Tak. Tak berubah. Kedudukan kita tak berubah. Dulu Arip lukakan hati Rina dan buat Rina berasa sangat sedih. Sekarang pun Arip masih lukakan hati Rina dan buat Rina sangat sedih.” Sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut, Adrina terus memekup mukanya dan menangi teresak-esak. Aku bungkam. Tidak tahu apa yang patut terungkap dari mulutku lagi.

“Kenapa Arip buat Rina macam ni? Rina dah beribu-ribu kali minta maaf kat Arip. Tapi kenapa Arip masih buat Rina macam ni?” soalnya pula dalam esakan tangisnya. Hatiku bagaikan luluh mendengarkan pernyataannya yang sayu itu. Memang buat masa ini aku berasakan bahawa akulah manusia yang paling keji dalam dunia ini. Aku melepaskan suatu keluhan berat.

“Saya memang… Saya minta maaf. Saya tak layak jadi sahabat Rina. Saya… Saya tak tau apa nak cakap lagi. Bye, Rina. Goodbye.” jawabku akhirnya seraya membuka pintu kenderaan dan keluar. Setelah menutup pintu kembali, aku terus melangkah ke arah hostelku. Sial betul! Kenapa jadi begini? Kenapa jadi perkara yang membuatkan aku berasa sangat sakit hati sekarang ni? Sial! Sial betul! SIAL BETUL!

Aku kembali berpusing dan berlari ke arah kenderaan Adrina yang masih pegun di kawasan parkir. Ternyata beliau masih memekup mukanya. Masih menangis. Aku segera membuka pintu RAV4 tersebut. Adrina yang tidak menyedari kehadiranku berasa tersentak melihatkan diriku yang tiba-tiba saja muncul di depannya. Buat seketika kami saling berpandangan. Air mata Adrina masih bergenang di kedua matanya. Jangan peduli yang itu. Cakap saja apa yang aku nak cakapkan. Cakap sekarang!

“Adrina… Saya rasa sangat sedih dan marah sebab Rina nak pergi. Tapi saya tetap tak mahu menghalang Rina pergi sebab… sebab saya sangat-sangat sayangkan Rina. Dan kalau kita sayangkan seseorang tu, kita mesti sanggup bekorban demi kepentingannya dan bukan demi kepentingan kita. Itulah yang saya buat sekarang. Tapi saya ni manusia yang lemah. Hati saya tetap sedih dan marah. Saya tak dapat halang perasaan itu sekarang. Maafkan saya, Rina. Saya tak ada niat nak sakitkan hati Rina lagi. Maafkan saya.” perjelasku dengan panjang lebar. Buat seketika kami hanya saling pandang-memandang.

Adrina tiba-tiba memelukku dengan seerat-eratnya. Esak tangisnya semakin lantang di telingaku. Namun ia akhirnya benar-benar melegakan hatiku.


- Bersambung -

video

Saturday, February 7, 2009

Emo Hero Bab 34

Emo Hero Bab 34



Dalam keadaan yang sangat kekok lagi tegang, sesaat terasa bagaikan begitu lama sekali. Bagi seorang perokok tentu ianya adalah impian mereka. Tapi bagi aku, kini ianya begitu menyiksakan sekali. Apa taknya, aku baharu sahaja menyeranah abang kandungku sendiri dan mendoakan kematiannya.

“Hmm… Begitu rupa-rupanya aku di mata kau selama hari ini, dik. Aku ini macam sampah saja la di mata kamu, ya?” tempelak abang sulungku.

“Kau kecil hati, ya? Kau rasa kau tak patut diperlakukan macam ini, ya? Kenapa kau tak terfikir macam tu bila kau buat kami sekeluarga merana dulu?” tempelakku kembali. Abang sulungku bungkam.

“Arif… Rina tau Rina tak patut masuk campur. Tapi ini bukannya Arif yang Rina kenal. Rina tau tentu ada Arif ada cara yang lebih baik untuk selesaikan hal ini.” suara lunak Adrina singgah menyapa di telingaku dan segera meredakan amarah di dalam hatiku. Aku memandang ke arah sahabatku. Kemudian kembali menatap abang sulungku.

“Aku tak mau cakap apa-apa lagi. Abang long pergi la dari sini. Itulah yang terbaik.” ujarku. Abang sulungku masih lagi terdiam. Namun kemudian beliau melirikkan senyuman.

“Dik, aku nak pinjam seratus boleh tak?” pintanya. Darah baranku kembali meluap. Memang ada yang kena libas dengan pedang Conan karang ni! Sebelum aku membuka mukaddimah carutku, lenganku terasa diramas dengan agak kejap secara tiba-tiba. Aku menoleh. Rupa-rupanya Adrina yang memegang kemas lenganku.

“Ini saja yang kami ada. Abang ambillah dan buatlah apa yang patut sekarang.” pinta Adrina sambil menghulurkan sekeping not lima puluh Ringgit Malaysia. Dengan perasaan tiada malu abang sulungku mencapai wang tersebut. Kemudian tanpa berkata sepatahpun beliau terus berpaling dan melangkah pergi meninggalkan kami berdua. Kini perhatianku terarah ke Adrina pula.

“Kenapa kau buat begitu? Kau seolah-olah menghina keluarga aku, tau tak? Kau ingat aku ni sengkek sangat tak berduit nak bagi abang aku yang sengkek juga tu ke?” persoalku dengan nada keras. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina tau Arip ada duit. Tapi persoalannya, Arip nak bagi ke duit kepada abang Arip tadi?” tanyanya.

“Jangan harap! Pergi mampuslah!” ujarku.

“Rina tau Arip tak akan bagi. Itu sebab Rina bagi. Kalau tak, tentu Arip dan bang Arip akan bertengkar dengan lebih lama lagi di sini. Arip nak ke membuka pekung dan aib keluarga Arip sendiri dan bagi semua orang kat sini dengar?” tanya Adrina dengan lembut. Namun bait-bait katanya itu memang masuk akal. Emosiku kembali mengendur.

“Rina… Aku minta maaf sebab cakap kasar kat kau tadi. Sorry, ya?” pintaku. Adrina tidak menjawab. Sebaliknya beliau mencubit lenganku dengan agak kuat sambil tersenyum geram.

“Sampai hati marah kat Rina macam itu! Geramnyaaaa….” omelnya seraya menguatkan cubitan. Aku langsung tertawa dengan telatah sahabatku itu.

“Okey! Okey! Aku akan bayar balik lima puluh tu kat kau. Janganlah piat aku lagi. Sakit, tau?’

*****************************************


Beberapa hari kemudian.

“Sekali lagi pak cik rasa terhutang budi dengan Arip sebab tolong Adrina hari tu.” Pak cik Marlbo… Jeffery memulakan bicara setelah berbasa-basi buat beberapa ketika. Aku memerhatikan tempat yang Adrina bawaku tuju. Sebuah restoran. Namanya Restoran Songket. Bukan main keMelayuan sekali. Tapi rekabentuk dalamannya memang cukup hebat. Tentu tempat ini cukup eksklusif dan mahal. Malah kerusi yang kulabuhkan punggung inipun memang empuk rasanya. Tak berani aku nak kentut, takut kalau-kalau rosak pulak sulaman baldunya!

“Saya kan kawan baik Rina. Takkan saya nak buat tak peduli aje?” balasku. Chewah! Macam iklan tak nak merokok pulak!

“Arip kata kalau nak balas budi, ayah kena bayar dia dua ratus ribu ringgit.” ujar Adrina secara tiba-tiba. Buat seketika kami berdua bungkam.

“Eh, mana ada? Pandai la Adrina buat cerita.” tingkahku. Adrina tertawa mengekek. Samdol kau, minah. Saja nak jatuhkan indeks Nikkei Hang Seng aku di depan Marlboro Man, ya? Pak cik Jeffery akhirnya turut tertawa.

“Ha! Dulu anak ayah ni tak pandai buat lawak yang bukan-bukan macam sekarang. Ni… mana belajar ni?” persoal pak cik Jeffery. Adrina tak menjawab. Sebaliknya matanya menyorot ke arahku dengan senyuman nakal. Ah, sudah! Nak menuduh aku pulak! Walaa Takrabuzzinaak! Pak cik Jeffery tentu akan mengetahui siapakah perosak moral jati diri anaknya. Buat-buat tak tahu! Pandang tempat lain! Uii… lawanya pelayan tu. Pakai baju kebaya bukan main seksi sekali. Memang baju kebaya ni cukup hebat rekaciptanya. Pinggul gadis-gadis Melayu terakhir menjadi semakin seksi dibuatnya. Aku patut ucapkan tahniah kepada Datuk Dahaman Manja Lela sebab merekacipta baju kebaya ni pada zaman kerajaan Kesultanan Melaka. Tentu dia setaraf dengan Gucci kalau mengikut zaman ini. Eh, korang percaya ke apa aku cakapkan ni? Aku sendiri pun tak percaya. Hahaha!

“Pelayan tu memang cantik, kan? Seksi pulak tu. Malah di sini semua pelayannya cantik-cantik. Arif suka yang mana?” Tiba-tiba pak cik Jeffery menghunjamkan soalan yang membuatkan aku bagaikan di saat-saat kematian seorang pencuri wayar elektrik bervoltan tinggi.

“Oro? Eeehh… Tak! tak! Saya tak pandang pun punggung perempuan tu!” tingkahku mempertahankan diri. Tapi nampaknya hujahan bernasku itu tadi langsung tak menolong menegakkan benang basahku. pak cik Jeffery tertawa berdekah-dekah. Begitu juga dengan Adrina.

“Hansapnya betul Arip ni!” perli Adrina seraya mencubit lenganku.

“Biasalah orang lelaki, ya tak Arif?” ujar pak cik Jeffery seraya menepuk-nepuk bahuku. Aku pula tak tahu nak berkata apa-apa. Malunyaaa… Tolong la sesiapa lemaskan aku dengan serkupan kain songket sekarang!

**************************************************


Lebih kurang sejam kemudian…

“Wuu… Rendang Tok ni memang betul-betul sedap!” puji Adrina.

“Rendang Tok ni makanan special orang Perak, kan Arif?” tanya pak cik Jeffery. Aku mengangguk.

“Tapi saya tak berapa suka makan Rendang Tok. Saya suka makan ayam ikan bakar stail Johor.” ujarku seraya menunding ke arah laukku. Memang sedap sungguh ikan pari bakar ni. Apa yang membuatkannya selazat memandang para pelayan yang cantik di restoran ini ialah sos ikan bakarnya yang memang cukup berperisa sekali. Memang padanlah dengan statusnya sebagai sebuah restoran yang mahal. Bila aku dah kaya nanti, aku akan belanja abah, mak dan adik-beradik aku makan kat sini. Err… abang long, aku tak nak bawak. Err… aku tapau aje untuk dia.

“Lepas ni mungkin susah kami nak dapat makan macam ni lagi.” ujar pak cik Jeffery tiba-tiba.

“Eh? Kenapa pulak?” tanyaku. Pak cik Jeffery memberikan reaksi terkejutnya.

“Rina tak beritahu lagi, ayah…” maklum Adrina. Aku menjadi semakin Conficius.

“Tak bagitau apa?” tanyaku.

“Arip, sebenarnya mama Rina akan berkahwin dua minggu lagi. Arip dijemput hadir, tau? Tapi Arip seorang saja sebab ini majlis tertutup sebenarnya.” maklum Adrina.

“Apa?!!” ujarku dengan nada terperanjat.

“Arip seorang saja yang dijemput. Memang bunyinya tak baik tapi-”

“Mak Rina nak kahwin lagi?” tanyaku. Adrina menganggukkan kepala. Aku spontan memandang ke arah pak cik Jeffery.

“Heh! Bukan pak ciklah. Cukuplah sekali. Pak cik dah serik. Haha!” ujar pak cik Jeffery sambil tertawa.

“Bila mama nak kahwin lain, hak penjagaan Rina akan pergi ke ayah pula. Ini untuk mengelakkan berlaku sumbang mahram.” ujar Adrina. Aku menganggukkan kepala. Orang secantik Adrina ni tentu menyelerakan mana-mana bakal bapa tiri sekalipun. Mak Adrina sungguhpun cantik, namun kalau dibandingkan dengan Adrina yang masih muda ranum lagi bergetah… Wei! Wei! Apa hal aku fikirkan hal macam ini pulak?

“Arip? Kenapa ketuk-ketuk kepala sendiri ni?’ tanya Adrina. Alamak! Aku buat perkara bodoh lagi!

“Aaa… Tak… Saya memang rasa pening kepala kalau minum ais cepat-cepat.” ujarku untuk membuat dalih. Adrina merenung ke arah meja di hadapanku. Aku turut memandang ke arah yang sama. Alamak! Aku terlupa yang aku memesan teh O panas tadi!

“Anyways, Rina akan tinggal dengan ayah dan famili ayah mulai dua minggu lagi.” ujar Adrina lagi. Beliau kemudian memandang ke arah ayahnya.

“Wah! Baguslah! Dapatlah korang berdua tebus masa-masa yang korang dah hilang dulu.” ujarku dengan nada teruja. Adrina menganggukkan kepala. Namun tiada senyuman terlakar pada bibirnya. Pak cik Jeffery pula memberikan senyuman serba-salahnya.

“Arip, Rina mungkin hanya tinggal dengan ayah di Malaysia selama lebih kurang dua minggu saja. Lepas tu mungkin kami semua tak akan ada lagi di sini.” maklum Adrina. Aku gagal menyembunyikan rasa terkejutku.

“Apa maksud kau, Rina?” tanyaku dengan suara bergetar.

“Ayah sebenarnya dah dapat tawaran bertugas di Milan, Itali. Dia terima sebelum tahu mama akan berkahwin. Rina tak mau ayah sia-siakan peluang ni. Jadi Rina akan ikut ayah dan famili ayah ke sana. Ke Milan. Ke Itali.” jawab Adrina.

Jantungku seakan-akan terhenti…


- Bersambung -