Sunday, November 30, 2008

Emo Hero Bab 29

Emo Hero Bab 29



Aku tak dapat mengagak selama mana bibirku bertaut dengan bibir Shaleen. Namun cukup untuk aku merasai kelembutan bibirnya. Cukup untuk aku menghidu bau mekap yang harum pada wajahnya. Cukup untuk aku menyedari bahawa gadis idamanku ini membalas ciumanku dengan rela. Ciuman amaturku ini bukanlah seperti ciuman uda dan dara di dalam filem Hollywood yang memulas-mulas bak buaya membanting mangsanya. Tidak juga seperti filem blue yang bermain-main lidah sampai ular Inland Taipan pun naik seriau melihatnya. Ciuman kami cuma bibir yang menyentuh dan menekan dengan lunak di antara satu dengan yang lain. Lidah kami langsung tidak bertemu. Pun begitu ianya cukup menggetarkan perasaan serta tubuhku.

“Shaleen… Sorry… Sorry…” pohonku setelah akhirnya melekangkan bibirku dari bibirnya. Aku kemudian memandang sekeliling. Fuh… Nasib baik tak ada sesiapa kat sekitar tempat parkir ni. Pandanganku kembali tertancap kepada Shaleen, yang sedang agak tajam memandang kembali.

“I’m sorry… I really am…” ujarku dengan nada kesal.

“Are you?” tanya Shaleen kembali. Kali ini senyuman melirik di bibirnya. Ih! Rasa nak cium lagilah!

“Depends…” balasku.

“On what?” tanya Shaleen kembali.

“Bergantung sama ada kau suka atau tak tadi.” jawabku. Shaleen tertawa. Pun begitu penembinya sempat menyinggah di bahu kiriku.

“Hmh!” rengus Shaleen. Pun begitu senyuman masih tetap utuh melirik pada bibirnya. Oro? Dia tak marah? Aku menjadi semakin teruja pulak sekarang.

**************************************************************

Pun begitu, sudah lebih kurang 15 minit berlalu semenjak kami memulakan perjalanan namun masing-masing berdiam diri kerana masih dicengkam dengan perasaan kekok. Aku betul-betul tak tau topik apa yang nak dibualkan. Kalau dengan Adrina, tak habis-habis kami bersembang macam mesingan yang tak berkesudahan pelurunya. Kadang-kadang tu dua-dua sekali bercakap dan aku tak tahu la siapa yang mendengar. Bila bersama Shaleen otak aku terus beku kecut tak dapat mengalirkan idea.

“Arif masih cintai Leen ke?” Akhirnya keheningan tadi dipecahkan oleh soalan yang paling tak ingin aku nak jawab. Eh, tak! Soalan yang paling tak inginku jawab ialah apakah hubungan aku dengan Fasha Sandha selama ini. Hahahaha!!!

“Cintai sungai kita.” ujarku dalam nada mengumam.

“Hah?” tanya Shaleen.

“Tak. Tak. Just thinking out loud. Buat apa nak jawab soalan tu? Dengar pun hati aku dah rasa macam dihiris-hiris. Hiris bawang buat rencah sup.” jawabku.

“Hah? Arif cakap apa benda tu?” tanya Shaleen kembali.

“Tak. Tak. Thinking out loud lagi.” balasku. Aku ni pun satu. Dalam tengah ‘emo‘ macam ni pun masih nak fikir yang bebukan. Eh! DVD blue Island Fever aku siapa yang pinjam hari tu, ek? Wadi kot? Puih! Puih! Jangan fikir benda tu lagi! Kang terpacul kat mulut tak berlesen FINAS aku ni pulak!

“Arif. I’m so sorry. Leen sangat sukai Arif. Tapi Leen tak boleh pergi jauh dari situ. Leen tak berani. Leen sorry.” Kata-kata Shaleen mengesahkan bahawa beliau mengetahui apakah perasanku terhadapnya kini. Lagipun aku dah menciumnya tadi. Sudah terang lagikan bersuluh la jawabnya! Takkan la aku cium dia tadi sebab nak suruh dia rasa taik gigi aku. Aii… Tak patut tadi aku menciumnya. Kini hatiku kembali sakit seperti dihirs-hiris. Hiris bawang buat rencah sup. Eh? Aku cakap lagi ke? Ah, lega! Aku terfikir dalam hati aje rupanya tadi… Kini kami kembali mendiamkan diri. Tiba-tiba lagu di radio menguandangkan lagu ‘Cinta Antara Kita’ nyanyian Duta. Secara spontan aku turut menyanyikan lagu tersebut.

“Sejak dari dulu kumenyintaimu. Kau tahu begitu namun kau berpura. Kumasih teringat kau peluk diriku. Dan telah membuat kumenyintaimu. Sudah berapa lama diriku ini tak bertemu mu. Mungkin kuharap jua kau merinduku sebagaimana kurindumu. Cinta antara kita tiada penghalangnya. Walau akhir usia kumenyinta dirimu. Kuhanya menunggumu mengata kau cintaku. Ku kan berjanji menyintamu sayang…”

“It’s a very beautiful song. And you have a beautiful voice.” puji Shaleen. Eleh, nak bodek aku la tu.

“Lagu tu memang bagus. Tapi tatabahasa dalam liriknya banyak yang tak betul. Jadi tak bagus untuk dijadikan rujukan dalam latihan tubi peperiksaan kertas Bahasa Melayu, ya anak-anak?” terangku dengan nada melawak. Siap kepit suara macam cikgu Markonah lagi tu. Shaleen tertawa.

“Kau tak usah la rasa bersalah sebab tak dapat balas cinta aku ni, Leen. Aku bukannya bebudak lagi. Aku okey. Aku percaya satu hari nanti aku akan jatuh cinta dan cinta aku itu akan dibalas. Pompuan tu nanti akan jadi isteri aku dan kami akan hidup bahagia dengan cinta kami. Kalau ada duit banyak pun okey jugak!” ujarku. Shaleen tertawa lagi.

“Thanks.” ucapnya. Aku mengangguk.

“For what it’s worth, Leen rasa elok Arif bercinta sama Adrina.” Tiba-tiba sahaja Shaleen mengutarakan cadangan yang kembali membuat suasana menjadi kekok.

“Haii… kau ni memang pandai la mencari topik untuk awkward silence.” sindirku. Shaleen tertawa kecil. Namun sempat lagi penyikunya singgah di lengan kiriku.

“Eh, betul apa?” ujarku mempertahankan kata-kataku tadi.

“What’s wrong with you and Adrina? Leen rasa dia suka Arif melebih dari kawan baik. Dari cerita Arif, Leen rasa meymang dia cintai Arif sekarang. Butul-butul kali ni.” ujar Shaleen.

“Apa nak buat… Aku tak rasa begitu pada dia. Cinta mana boleh dipaksa. Macam keadaan kita sekarang ni leee…” balasku sambil mengajuk cara amoi itu bercakap ‘leee’ beliau.

“Tapi kalau Arif menterima Adrina punya cinta, nanti lama-lama Arif pun akan cintai Adrina jugah. Cinta kan boleh dipopok?” Shaleen membalas servisku dengan back-hand yang kencang. Tapi kelakar dalam masa yang sama.

“Popok tu diapers la… Apa kena-mengena cinta dengan Mami Poko? Pupuk… cinta boleh dipupuk. Bukan popok!” balasku memperbetulkan nahu amoi tersebut. Beliau hanya tertawa. Manja bunyinya. Kalau la kau ni kucing, dah lama aku peluk-peluk kau! Tapi cium mulut aku tak nak! Kucing mana gosok gigi! Busuk!

“Kalau Leen kata begitu, kenapa Leen tak terima cinta saya dan belajar untuk mencintai saya? Cinta tu kan boleh dipupuk?” balasku memulang paku buah keras.

“Hmh! Pandai la Arif manipulate cakap Leen dan cakap pusing-pusing.” rungut gadis Cina tersebut.

“Cakap putar belit laa…” balasku.

“Kenapa tuduh Leen saorang yang penipu pulak?” tingkahnya dengan kata-kata yang tak masuk akal.

“Oro? Bila pulak aku tuduh kamu seorang penipu?” pertikaiku.

“Tu tadi… Arif kata putar-belit!” ujarnya dengan nada merajuk. Aku tertawa.

“Tadi Leen kata saya ‘cakap pusing-pusing’ kan? Bukan ‘cakap pusing-pusing’ sayang… Cakap putar-belit sebenarnya. Itu baru betul. Bukannya saya tuduh Leen ni penipu tadi.” perjelasku dan kembali menyambung tawa.

“Habis, orang yang menipu tak ka dikatakan putar-belit jugah?” tingkahnya. Dah tuisyen Bahasa Melayu pulak nampaknya kami dalam kereta sport yang hebat ni. Tak cool langsung!

“Itu ‘putar alam’ laa… Tapi sebenarnya orang yang cakap putar-belit pun boleh dianggap penipu juga.” maklumku.

“Hah! Makna ya Arif jugah menipu la bila cakap putar-belit tadi, kan? Kan? Kan?” usik Shaleen seraya tertawa.

“Samdol kau ni, amoi! Aku penat-penat ajar kau bahasa kebangsaan, kau gunakan untuk kenakan aku balik, ya? Kin to nin jiom pei pa ko!” ujarku dengan ungkapan ‘makian’ sebagai penutup bicara. Shaleen semakin rancak ketawanya.

***********************************************************

Akhirnya kami tiba juga ke restoran Delifrance setelah memandu selama hampir setengah jam. Betul cakap Wadi tadi. Memang tempat ni agak jauh dari UNISAS. Namun aku sengaja mencari tempat sedemikian untuk mengelakkan dari bertembung dengan orang-orang yang kukenali. Lebih-lebih lagi Adrina. Aku tak mahu hatinya terusik tatkala mana ternampak diriku bersama Shaleen sungguhpun beliau tahu akan jadualku pada hari ini. Mengetahui dan nampak dengan mata kepala sendiri adalah berbeza, tau?

“Dah sampaaaiii…” ujarku dengan nada lega. Yalah, aku berasa lega dan bersyukur sebab tak berlaku apa-apa terhadap kereta Shaleen semasa aku memegang steeringnya. Buatnya terlanggar babi hutan orang asli tadi, tak ke naya?

“Hei, Arif.”

“Hah? Apa dia?”

“Thank you for the lessons. Muah!” Shaleen kini mengucup pipiku pula sebaik sahaja menghabiskan ayatnya. Aku tergamam seketika. Namun sepantas Space Cop Gaban aku kembali pulih dan tenang. Eh, Space Cop Gaban tu ahli Rakan Cop PDRM jugak ke?

“You’re welcome. Tapi mengapa mesti cium pipi aku pulak?” tanyaku dengan nada ingin tahu. Shaleen telahpun membuka pintu keretanya.

“Leen akan belajar menterima cinta Arif. Cinta kan boleh dipupuk?” jawabnya dengan sulaman senyuman seraya terus keluar dari kereta.

Aku pula masih termangu-mangu di dalam kereta dek cuba mencernakan kata-kata gadis idamanku tadi. Space Cop Gaban entah ke mana, Rakan Cop entah ke mana…


- Bersambung -
************************************************************************************
Notakaki :

Akhirnya si penyeksa Nirmala Bonat mendapat balasan yang setimpal di atas perbuatannya iaitu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun. Buat masa ini hukuman tersebut digantung sementara menunggu permohonan rayuan daripada peguamnya.

Aku spontan sahaja menepuk tanganku tatkala mendengarkan perkhabaran tersebut waktu disiarkan dalam berita tengahari di TV3 sambil berkata "Padan muka". Si penyeksa tersebut menangis teresak-esak sambil menyatakan "Tiada keadilan dalam dunia ini".

Aku terpaksa bersetuju dengan pernyataannya itu. Hukuman 18 tahun adalah terlalu tidak adil buatnya. Hukuman yang kurasakan paling setimpal buatnya ialah diseksa dengan cara yang sama seperti apa yang dibuat olehnya terhadap Nirmala Bonat. Itu baharulah adil.

Ada pula yang mengatakan bahawa si penyeksa tersebut adalah syaitan bertopengkan manusia. Aku tak bersetuju. Bagiku kejahatan dan kekejaman manusia ini tidak boleh dibandingkan dengan makhluk lain. Binatang tak pernah membunuh atau mencederakan mangsanya demi untuk keseronokan. Begitu juga dengan syaitan. Pernah tak terdengar bahawa kaum syaitan membunuh anak mereka sendiri? Atau menzalimi syaitan yang lain? Tentulah tidak.

Itulah keistimewaan kita ini yang bernama manusia. Kebaikan yang kita lakukan boleh melebihi tahap malaikat manakala kejahatan yang kita lakukan boleh melebihi tahap syaitan.

Sunday, November 16, 2008

Emo Hero Bab 28

Emo Hero Bab 28



Tatkala aku melangkah keluar dari Savoire-Faire untuk mengambil angin (mungkin juga nak buang angin sebagai pendapatan sampingan), aku ternampak kelibat Nizam dari belakang yang tegak berdiri di kawasan parkir. Kelihatan tubuhnya seolah-olah berasap, yang mana secara spontan akal rasionalku memaklumkan bahawa beliau sedang merokok. Entah-entah tengah perasap kemenyan panggil hantu Ning Rapik! Nizam menoleh ke belakang. Mungkin derap kakiku berjaya menyinggah ke telinganya. Beliau masih mampu tersenyum sungguhpun sebatang rokok yang berbara tersepit di antara kedua bibirnya.

“Hei.” tegurku. Kini aku telahpun berdiri di sisinya.

“Wassap my nigga?” tegur Nizam secara bergurau. Kami tertawa kecil.

“Kau pun tak mau kacau anak-beranak dua orang tu, ya?” tanya Nizam. Aku mengangguk kecil. Keadaan hening seketika. Beberapa anak gadis yang seksi lalu di hadapan kami. Salah seorang daripada mereka melemparkan senyuman ke arah kami. Kami tak membalas senyumannya. Apa tidaknya, muka macam sepah bulan. Itu pun kira nasib baik tak kena pungkang dengan batu nisan lama!

“Wadi dan Wawa pulak ke mana perginya?” tanyaku. Nizam membuat isyarat tubuh yang beliau tidak tahu. Buat seketika tiada lagi perbualan tercetus di antara kami berdua. Keadaan menjadi hening sekali lagi. Nizam tiba-tiba tertawa kecil.

“Apasal?” tanyaku. Ni mesti teringat lawak lucah semalam ni.

“Untuk bapak kau, kau bagi kad saja. Tapi untuk Adrina, kau sanggup bersusah-payah buat perkara yang hebat demi untuk dia dan bapaknya.” ujar Nizam yang hanya separuh menjawab kemusykilanku tadi.

“Your point?” tanyaku.

“Aku terpikir… kalau situasi aku macam Adrina juga, mungkin ke kau akan buat perkara yang sama?” Pertanyaan Nizam membuatkanku bungkam. Nizam menghela nafas dan kemudian menghembuskannya bersama-sama asap rokok yang disedut olehnya tadi. Aku terperasankan seolah-olah beliau sebenarnya turut mengeluh kecil.

“Arip… Mana mungkin dia boleh jadi hanya sahabat dalam hubungan korang berdua.” ujar Nizam.

“Apa pulak! Ada banyak kes pompuan dan lelaki jadi sahabat karib. Itu sebabnya wujud perkataan ‘platonik’.” tingkahku yang mulai memahami ke mana halatuju perbualan kami ini. Aii… patutnya aku buang aje angin kat dalam bistro tadi!

“Itu semua BULLSHIT saja. Kau bagitau aku mano-a-mano yang hati kau sedikitpun tak rasakan perasaan pelik bila kau pandang dia, bercakap dengan dia dan disentuh oleh dia. Pandang tepat ke mata aku dan cakap begitu.” cabar Nizam seraya memalingkan tubuhnya menghadapku. Matanya tertancap tepat pada mataku.

“Err..” Itu sahaja yang mampu kuperkatakan. Serius… aku pun tak tau kenapa aku tak mampu membalas kata-kata sahabatku itu. Sial.. sial betul… kenapa aku tak mampu nak balas balik ni?

“Hei! Kenapa semua orang lari keluar? Tinggal Rina dengan ayah Rina aje!” Fuh! Saved by the bell! Nasib baik Adrina muncul di saat-saat yang gawat ini. Aku segera memalingkan tubuhku ke arah Adrina yang semakin menghampiri kami berdua.

“Kami nak ambil angin.” ujarku memberikan alasan.

“Yalah tu! Korang nak bagi peluang Rina sembang-sembang dengan ayah Rina, kan?” tanya Adrina seraya tersenyum.

“Caught red-handed. Guilty as charged.” ujar Nizam seraya memandang ke arahku. Adrina tertawa. Namun kali ini keceriaan tersebut hanya miliknya seorang. Aku yang berasa terperli dengan kata-kata Nizam tadi hanya tersenyum kelat. Manakala pemerliku itu pula masih memakukan pandangannya ke arahku. Setelah beberapa ketika akhirnya gadis tersebut terdiam. Kini beliau hanya merenungku sambil tersenyum.

“Hm? Kenapa Rina?” tanyaku. Buat muka macam pinjam stokin aerobik aku aje...

“Rina akan ingat apa yang Arip buat ni sampai ke syurga dan terus kekal abadi.” maklum Adrina. Uih! Biar benar minah ni… Takkan la besar sangat jasa aku sampai dikenang begitu sekali. Kalau minah ni jadi Perdana Menteri nanti, mau pulak dibuatnya tugu peringatan Arif Akmal kat sebelah tugu pahlawan!

“Alah… hal kecik aje.” tingkahku merendah diri.

“Nampaknya Rina dah berkali-kali terhutang budi dengan Arip.” maklum Adrina pula. Aku menggelengkan kepala tanda tidak menyetujui kata-kata tersebut.

“Jangan sebut macam tu. Kita kan-“ Entah mengapa aku seolah-olah tidak mampu untuk menghabiskan baki kata-kataku itu. Sial betul, kau ni Nizam!

“Terima kasih, Arip.” ucap Adrina. Beliau terus merapatkan tubuhnya kepadaku lantas memelukku dengan erat.

“Rina…” Aku berasa agak bimbang dengan perlakuan Adrina yang mungkin mengundang pandangan serong orang sekeliling. Namun tatkala terdengarkan esakan kecil tangisnya, aku mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja. Pada masa yang sama Nizam seolah-olah sengaja lalu dihadapanku agar aku menyedarinya.

“Aku nak masuk ke dalam.” maklumnya. Aku mengangguk. Tatkala mata kami masih bertentangan. Nizam tersenyum kecil. Dari riak wajahnya aku tahu bahawa beliau ingin menyatakan bahawa inilah apa yang beliau maksudkan dengan kata-katanya tadi. Sahabat buayaku itu kemudian menyambung langkahnya masuk ke dalam Savoire-Faire.

Aku termangu seketika. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Nizam tadi? Aku tahu bahawa perasaanku terhadap Shaleen masih menebal seperti dahulu. Tapi mungkinkah pada masa yang sama aku mula memupuk perasaan yang serupa terhadap Adrina? Adakah ianya akan sama seperti dahulu semasa aku mulai menyedari yang aku mulai terpaut hati kepada Shaleen?

*************************************************************************************

Dua hari kemudian… Petang lepas ‘Asar.

“Woit! Nak ke mana tu pelir-boy?” Usikan Wadi kubalas dengan renungan tajam.

“Barua lu… Aku nak ke Delifrance la.” jawabku.

“Jauhnya nak pergi dating! Dengan Adrina ke?” tanya Wadi lagi. Aku menggelengkan kepala. Tentu Wadi dapat mengagak bahawa aku mempunyai janji temu dengan Shaleen.

“Dengan Shaleen pulaaak! Huii… memang sahih kau ni pelir-boy.” kutuknya lagi. Aku tidak jadi memaki Wadi kerana pada masa yang sama telefon selularku telah berbunyi.

“Hello? Hai Leen! You dah ada kat bawah? Tunggu kejap, ya?” ujarku. Sebaik sahaja aku menamatkan perbualan, kakiku terus menuju ke arah katil dan lantas mengambil sebiji bantal milikku.

“Hah! Nak ke mana dengan batal busuk kepam kau tu?” tanya Wadi. Aku tidak mempedulikan pertanyaan tersebut. Sebaliknya aku terus membuka pintu bilik untuk keluar. Namun tatkala tubuhku separa melangkah keluar, aku kembali berpaling ke arah Wadi.

“Bantal ni untuk kau, butoh!” makiku seraya melemparkan bantal tersebut tepat ke muka Wadi. Aku kemudiannya terus berlari keluar seraya tertawa terbahak-bahak. Dari jauh aku dapat mendengar makian Wadi. Entah bahasa Jawan, entah bahasa Burma… aku pun tak pasti. Seketika kemudian aku yang berada di tingkat bawah dapat melihat beliau keluar dari bilik dengan bantalku. Alamak-uda! Sohih dia nak lempar ke bawah tu.

“Ambik balik peta dunia kau ni!” jerit Wadi. Seperti yang kuduga, beliau melemparkan bantalku ke bawah. Aku cuba menyambutnya tetapi gagal. Mujurlah bantal tersebut jatuh di atas gelanggang badminton.

“Asshole! Beyotch! &%$#@*&^!!!” Semua jenis maki-hamun yang kuketahui dalam pelbagai versi bahasa kuhamburkan terhadap Wadi. Muhibbah sungguh cacianku itu! Inilah yang dikatakan lambang perpaduan serta integrasi antara kaum gamaknya. Kini giliran Wadi pula menderaikan tawanya. Aku malas nak naik kembali ke atas untuk menyimpan bantalku. Lagipun mungkin Wadi masih tidak berpuas hati lantas melancarkan jurus maut keduanya pula. Oleh yang demikian, aku mengambil keputusan untuk membawa bantalku dating bersama. Setelah beberapa ketika kakiku akhirnya berjaya membawaku ke kawasan parkir, di mana Shaleen sedang menungguku dengan Mitsubishi Evolution miliknya.

“Hai Leen.” sapaku.

“Shit, man! Arif bila mencarup sungguh terrifying!” balas Shaleen.

“Alamak! Kamu dengar aku mencarut tadi?” tanyaku dengan nada yang agak cemas. Berapa decibel suara yang kulaungkan tadi gamaknya, ya?

“Leen rasakan suatu blok boleh mendengarkan carutan Arif tadi.” jawab Shaleen dengan nahu peliknya. Tapi kali ini betul pulak sebutan ‘carut’nya. Aku tertawa gelihati. Tak pasti sama ada kerana kelakuanku tadi atau sebutan pelik Shaleen. Mungkin kedua-duanya.

“Kenapa pula membawa bantai ke dating?” tanya Shaleen. Bibir mungilnya tersenyum gelihati bercampur manja.

“Panjang ceritanya. Tapi itu la puncanya saya mencarut tadi.” jawabku. Shaleen tertawa. Beliau kemudian menyeluk kocek seluar jeansnya yang ya Rabbi ketatnya dan mengeluarkan kunci kereta. Tiba-tiba kunci tersebut diunjukkan kepadaku.

“Arif pandu, iya?” pintanya. Aku tergamam.

“Biar betul, amoi! Itu Evo tu… Rega tiga ratus ribu lebih tu…” ujarku untuk meragukan hati gadis tersebut. Shaleen menggelengkan kepala.

“Leen percayakan Arif. Segenap jiwa dan raga Leen.” jawabnya. Tu diaa… dahsyat betul ungkapan Shaleen kali ni. Mau bergetaran janggut A. Samad Said ni!

“Wow… Hebatnya kata-kata Leen tadi! Sastera maut tahap dewa ni!” pujiku. Shaleen tertawa.

“Sekarang Leen membanyakkan tengok tv siri-siri Melayu dan membaca novel-novel Melayu.” maklumnya. Aku mengangguk. Tak mampu riak wajahku menghapuskan rasa kekaguman yang masih membekas sejak tadi.

“Arif pandu. Serius. Leen mempercayakan Arif.” ujar Shaleen lagi. Aku akhirnya mencapai pemberiannya itu.

“Bantai tu nak memegang lagi ka? Kasi Leen yang pegang dan letak belakang kereta.” pinta Shaleen.

“Malu ah! Busuk!” maklumkan dengan nada keberatan.

“Kasi lee…” pintanya lagi dengan nada tegas. Pun begitu bunyinya tetap melucukan. Shaleen tiba-tiba merebut bantal yang kupegang dengan secepat kilat.

“Woi! Woi! WOI!” tegahku. Namun segalanya sudah terlambat. Shaleen telahpun memekupkan bantalku itu ke hidungnya.

“Eii… Busyuuuk!!!” teriaknya seraya tertawa. Aku segera merapatinya untuk merabut bantalku kembali. Shaleen cuba melarikan diri. Namun dengan pantas aku memautnya dari belakang untuk menghalangnya dari membuat sesuatu yang bakal mengancam masa depan gemilang bantalku.

“Sengaja peluk Leen! Shame on youuu!!!” teriak Shaleen seraya tertawa. Aku yang masih cuba merebut bantalku juga turut tertawa. Akhirnya Shaleen melepaskan cengkaman ke atas bantalku.

“Haha! Dapat! Berjaya Times Square! Menang!” teriakku dengan megah. Namun baharulah aku menyedari yang tangan kiriku masih memaut pinggang Shaleen. Apa yang membuatkanku terkaku ialah tangan kanan Shaleen juga sedang merangkul bahuku. Kini wajahnya hanya beberapa inci sahaja dari wajahku. Buat seketika pandangan kami terkunci dan hanyut di dalam emosi.

Tau-tau sahaja bibirku memaut bibirnya…



-Bersambung-
..........................................................................................................................................................................
Nota Kaki :

Aku baharu-baharu ini telah berkesempatan bertemu dengan sahabat merangkap editor dan yang terkini merangkap ejenku bernama Liana Omar. Dia menggalakkan agar menghabiskan novel pertamaku yang terbengkalai berjudul Pirate Lisfer. Aku kata silap gaya tahun depan baharulah boleh siap. Beliau memaklumkan kepadaku bahawa ada sesetengah penulis mengambil masa hingga 10 tahun untuk menyiapkan karya unggul mereka.

Aku memintanya agar membaca juga cerita Zero Heroku untuk melihat perkembangan serta kemampuanku. Sungguhpun Liana cukup anti dengan konsep Zero Hero yang sambil lewa mengabaikan nilai sastera, namun beliau berjanji akan cuba membacanya.

Dua hari kemudian, aku telah menerima SMS daripada Liana yang menyatakan bahawa beliau sangat menyukai ceritaku. Malah aku berjaya membuatnya tertawa. Kini Liana cukup bersemangat untuk menjadi editor bagi para penulis underground sepertiku ini.

Aku juga bersemangat dan kini mempunyai keyakinan yang tinggi untuk jadi penulis novel. Namun Trilogi Heroku ini tetap percuma untuk kalian semua. Terima kasih semua. Dan tidak lupa juga terima kasih untuk editorku itu.

Sunday, November 9, 2008

Emo Hero Bab 27

Emo Hero Bab 27



Sabtu. Malam. Lokasi : Savoire-Faire. Waktu : Aku tak nampak. Gelap sangat!

“WOOO!!! Bunk Face! I love YOUUU!!!”

Aku memandang ke arah Nizam yang membuat muka kurang senang dengan sikap ‘rusa masuk kampung’ Alisha. Entahnya minah ni. Dah le duduk kat depan. Terpekik-pekik seronok tak tentu pasal pulak bila tengok bebudak Bunkface buat gig mereka kat Savoire-Faire. Aku pun minat habis jugak kat band indie tersebut. Diorang ni gaya ala-ala campuran Green Day dan All American Reject. Tapi tak la melompat-lompat macam Apache dapat pisang bila nampak bebudak tersebut. Selepas menyanyikan lagu keempat mereka yang bertajuk Bunk Anthem, akhirnya Bunk Face berhenti sebentar untuk berehat.

“Finally… you calm down…” ujar Nizam dengan nada sinikal. Alisha yang tak terperasankan maksud yang sebenar tertawa riang dengan ‘jenaka’ tersebut. Aku memandang ke arah Adrina. Beliau tersenyum tetapi ianya senyuman yang dipaksa. Ternyata sahabat comelku itu tidak menyukai apa yang Nizam sedang lakukan. Wadi pulak dari tadi asyik berbisik-bisik dengan Wawa. Kunun gaya cakap romantik le tu. Entah-entah Wadi dok cium bau taik telinga si Wawa. Sahabat aku tu memang dah sedia maklum terkenal dengan sikap pengotornya. Tapi semenjak akhir-akhir ni aku tak nampak pulak Wadi memakai spenda ‘kitar semula’ macam selalunya. Oro! Entah-entah semenjak couple dengan si Wawa ni, dia dah jadi budak pembersih. Oh no… Wadi! Don’t turn yourself to the Dark Side!

“Apa yang Arip menungkan tu?” tanya Adrina tiba-tiba sambil mencubit lunak lenganku.

“Sekarang Wadi dah rajin basuh spenda laa…” Itulah perkataan yang sepatutnya bergema di dalam cepu fikiranku tetapi terpacul keluar dari mulutku. Serentak dengan itu kesemua grup kami (kecuali Wadi) tertawa. Alanek! Aku buat perkara yang tak wajar lagi…

“Badigol lu, Arip!” maki Wadi. Aku yang turut tertawa hanya membuat isyarat dengan tanganku untuk memohon maaf. Namun ianya nyata tidak memuaskan hati Wadi. Kini mulutnya menyeranahku dalam bahasa Jawa pulak. Aku tak paham apa maksudnya kecuali perkataan ‘kontol’.

“Something is bothering you… A penny for your thought.” Adrina cuba memancing untuk mengetahui apa yang terbuku di benakku. Taakulannya memang tepat. Aku sebenarnya berasa cemas kerana takut rakan-rakanku ini dapat menghidu tujuanku yang sebenar mengajak mereka semua ke Savoire-Faire.

“Aku sakit perut. Dari semalam tak buat pelaburan.” maklumku.

“Tipu. Arip bukannya pandai berbohong. I can see it right through your eyes that you’re up to something. Mana kawan Arip si Marlboro Man tu?” tanya Adrina.

“Ha-ah! Ya tak ya pulak. Mana member kau tu, Rip?” tanya Nizam. Aku menoleh ke arahnya pula. Ternyata beliau berasa tidak selesa (dan mungkin malu) apabila Alisha tak habis-habis mengepit dan ‘menyondol’ tubuhnya. Minah ni gedik betul Menyampah pulak aku menengoknya. Nak tunjuk ala-ala kasih-sayang pulaaak. Tu yang tak habis-habis menyondol tu. Macam babi hutan.

“Macam babi hutan.” Kata-kata tersebut terpacul pula di mulutku. Kesemua yang berada di sofa bulan tersebut terdiam.

“Kau kata Alisha ke tadi?” tanya Nizam. Alamaak… mulut aku buat hal lagiii…

“Aaa… Err…” Itu sahaja yang mampu kukatakan. Aku agak Batman pun akan terbungkam macam aku juga pada situasi sebegini. Mungkinkah aku ni Batman?

“You ni Alisha… memang betul pun macam babi hutan. Ayah I ada ladang di Miri. Di sana selalu pekerjanya terserempak dengan babi hutan menyondol pokok-pokok yang ditanam. Macam you la dari tadi menyondol-nyondol kat I.” Tergamam aku tatkala mendengarkan kata-kata berbisa yang terhambur dari mulut Nizam. Aku rasa kesemua yang ada di situ pun tergamam juga. Aku memandang ke arah Alisha. Beliau nampak pucat. Matanya mula digenangi air. Beliau kemudiannya bingkas bangun.

“ASSHOLE!!!” jeritnya seraya mencapai jag minuman dan cuba menghamburnya ke muka Nizam. Namun sahabatku itu berjaya menepisnya. Pun begitu air minuman tersebut tetap menemukan mangsanya.

“Adrina!” seruku dalam nada separuh meneriak. Tubuh Adrina basah kuyup bermandikan hampir 2 liter teh lemon ais. Aku juga terkena sedikit tapi cuma di bahagian lengan kiri.

“Rina sejuk, Arip…” ujar Adrina dalam nada yang masih terkejut. Aku segera menanggalkan jaketku dan menggunakannya untuk membalut tubuh Adrina. Alisha pula masih tergamam kerana tersalah sasaran.

“Who’s the asshole now?” tanya Nizam dengan nada sinis. Alisha melemparkan pandangan tajam ke arah sahabatku itu. Kemudian beliau terus melangkah keluar dengan pantas. Ternyata beliau benar-benar marah sekarang.

“Jom cuci rambut, muka dan badan Rina kat toilet.” saranku. Adrina mengangguk. Aku berasa geram juga dengan perangai Alisha dan Nizam. Nak bergaduh ke, berpistol high noon ke… pergi aje la kat luar. Tak pasal-pasal orang lain yang kena. Aku segera bangun dan memimpin Adrina ke tandas wanita. Aku pun tak tahu mengapa aku berbuat begitu. Ianya spontan sahaja.

“Pakai jaket tu dulu. Aku tunggu kat luar.” pintaku tatkala kami sampai di pintu tandas wanita.

“T.. Thanks…” ujar sahabatku itu dalam nada menggeletar kesejukan. Ketikamana aku sedang menunggu kat luar tandas sambil memaki Nizam, tiba-tiba telefonku berdering. Aku melihat skrin telefonku. Ianya panggilan daripada pak cik Jeffery, bapa Adrina.

“Dah sedia?” tanya pak cik Jeffery

“Tunggu dulu. Ada hal sikit. Tangguh sekejap.” jawabku. Pak cik Jeffery meletakkan telefon. Aku pula kembali menunggu bak bouncer yang kesepian ditinggal kekasih. Seketika kemudian Adrina muncul dari tandas tersebut.

“Cakap dengan siapa tadi? Marlboro Man?” tanyanya sambil tersenyum.

“Ha-ah!” jawabku.

“Kenapa panggil Marlboro Man? Sebab dia macho ke?” tanyanya lagi sambil mengirai-ngirai rambutnya yang basah. Kesian Adrina, teruk-teruk bermekap dan ke salun, alih-alih dapat fesyen ‘wet look’ pulak!

“Memang dia macho.” balasku.

“Waa… silap gaya Rina boleh jatuh hati ni! Arip jangan jealous, ya?” usiknya.

“Tak ku siyo.” jawabku dengan loghat Perak. Maknanya ‘aku tak peduli pun’. Adrina tertawa. Kami berdua mula melangkah kembali ke arah tempat duduk kami tadi.

“Siapa lagi macho. Ayah Rina ke atau Marlboro Man?” tanyanya tiba-tiba.

“Tentulah Marlboro Man. Ni apahal tiba-tiba bertanya pasal bapak Rina ni?” tanyaku dengan nada yang agak tertekan. Ceh! Punyalah tak pandai berlakon. Harapnya dia tak terperasan la…

“Kan hari ni Hari Bapa. Tentulah Rina teringat kat dia. Arip dah hantar kad ucapan kat bapa Arip?” tanya Adrina.

“Hm. Dah.” jawabku. Kami akhirnya sampai di tempat duduk kami. Nizam, Wadi dan Wawa sedang memandang ke arah kami tanpa berkelip.

“Sorry, Rina.” ucap Nizam.

“I’m still angry with you.” balas Adrina dengan nada bengang.

“Hey, it’s not my fault. She’s the one who did it.” balas Nizam pula.

“Yeah, but-“ Belum sempat Adrina menghabiskan ayatnya, mulutnya telahpun dipekup olehku. Adrina segera menepis tangan tersebut.

“Kenapa Arip menangkan dia?” tanyanya dengan nada tak berpuas hati.

“Aku bukan nak menangkan sesiapa. Aku nak menyanyi sekarang. The song is for you.” jawabku. Air muka masam Adrina serta-merta berubah. Senyuman kembali terlakar pada bibir mungilnya.

“Surprise untuk Rina? Bestnyaaa!” ujar Adrina dengan gembira dalam nada separuh berteriak.

“Hah! You pulak nak jadi macam Alisha sekarang.” sindir Nizam.

“Shut the hell up!” balas Adrina.

“Rina…” tegurku.

“Okay… Okay… Sorry Arip. Rina keep quiet sekarang.” balas Rina dengan muka comel-comel kucing Whiskies (mak aku yang cakap bila dia gabung makanan kucing Whiskas dengan Friskies). Aku segera bangun dan menuju ke pentas. Ketika ini band tetap Savoire-Faire telahpun selesai mengalunkan lagu instrumental mereka.

“Aaa… Hello! Apa khabar semua? Saya minta maaf kalau mengganggu anda semua dengan suara saya ni. Tapi saya ingin menyanyikan sebuah lagu yang ditujukan khas buat kawan saya yang sedang basah kuyup tu.” Pegumuman yang kubuat mengundang tawa daripada para pengunjung. Aku merenung ke arah Adrina. Gadis tersebut mencebikkan bibirnya.

“Nama kawan saya yang basah kuyup itu ialah Adrina. Saya tujukan lagu ini khas buatnya sempena Hari Bapa pada hari ini.” Sebaik sahaja aku berkata sedemikian, hadirin kesemuanya bertepuk tangan dan bersorak. Fuh… Mujo la deme ni sporting! Adrina tersenyum-simpul kerana berasa malu.

“Dan saya juga nak Adrina tahu bahawa sungguhpun beliau kini telah basah kuyup, namun bagi saya beliau tetap seorang yang jelita.” ujarku. Hadirin bersorak mengusik. Nizam, Wadi dan Wawa tertawa. Manakala Adrina mengacukan buku limanya kepadaku. Kemudian beliau turut tertawa. Namun aku pasti beliau berasa amat segan sekarang. Aku memandang ke arah bebudak band untuk memberikan isyarat agar bersedia.

“Terimalah lagu sempena Hari Bapa ini yang bertajuk ‘Daddy’s Little Girl’.” ujarku. Hadirin bertepuk tangan memberikan sokongan serta semangat kepadaku.

“Okey. One, two… Go!” Sebaik sahaja berkata demikian, band tetap Savoire-Faire mula mengalunkan lagu tersebut.

You’re the end of the rainbow
My pot of gold
You’re daddy’s little girl
To have and to hold
The precious gem
Is what you are
The ray of hope
The shining star

You’re as bright as the sunshine
Morning first light
You warm my day
And bright in my night
You’re sugar, you’re spice
And everything nice
And you’re daddy’s little girl

Tatkala aku sedang mengalunkan rangkap lagu tersebut, muncullah bapa Adrina di atas pentas bersamaku. Aku dapat melihat reaksi terkejut gadis tersebut. Aku dapat melihat bibirnya bergetar untuk mengungkapkan sesuatu namun tiada suara yang keluar. Aku dapat melihat air mata Adrina yang mula beruraian keluar. Aku memandang ke arah pak cik Jeffery. Aku juga dapat melihat air mata yang bergenang pada kedua matanya yang macho itu. Menangis pun nampak macho! Sial betullah! Dulu masa aku menangis Nizam dan Wadi kata aku macam bapuk! Aku kembali melontarkan pandangan ke arah Adrina. Beliau sedang menyeka air matanya. Namun senyuman kembali bertaut pada bibirnya sedangkan matanya tertancap kemas pada bapanya. Aku memandang pula ke arah pak cik Jeffery Beliau juga turut memakukan pandangannya terhadap Adrina sambil tersenyum. Kemudian beliau mendepangkan kedua belah tangan. Adrina bingkas bangun dan berlari ke arah pak cik Jeffery. Tatkala bertembung mereka terus berpelukan dengan begitu erat sekali. Aku hanya menghalakan tanganku kiriku ke arah bapa dan anak yang sedang berpelukan lantas menghabiskan rangkap terakhir laguku :

And you’re daddy’s little girl….

Dan aku dapat melihat hadirin bersorak sambil bertepuk tangan…..


- Bersambung -

video

Sunday, November 2, 2008

Emo Hero Bab 26

Emo Hero Bab 26



Sabtu. Malam. Pukul 9.34 pm.

“Waaa… Arip memang sangat bergaya la!” puji Adrina tatkala beliau turun dari Toyota RAV4 miliknya. Seperti yang dirancang dan dijanjikan, kami semua berkumpul di perkarangan hostel penginapanku. Nizam pun baharu sahaja tiba bersama ‘koleksi’ terbaharunya. Aku kadang-kala berasa kasihan dengan gadis-gadis yang menggedik dengan sahabatku itu, dek berasakan bahawa mereka sudah menemui cinta yang sejati. Gedik la selagi boleh. Jangan tergeletak dalam longkang bila kena buang, sudah…

“Mana Wadi? Wawa pun tak ada.” tanya Nizam.

“Wadi pinjam motor aku nak ngambik si Wawa.” maklumku.

“Waa… Romantiknya Wadi. Arip pun patut begitu la! Patutnya Arip datang ambil Rina dengan motor, tau?” sindir Adrina.

“Eleh… Itu kau kata romantik? Aku lagi romantik daripada si tempe tu, tau?” tingkahku. Apa yang bestnya naik motor memalam buta ni? Romantik hapa! Kang silap gaya kena kencing dek langsuir. Tak pun kena taik burung hantu. Tapi aku tak pernah dengar orang kena taik burung hantu. Kenapa, ya? Salah satu lagi misteri yang tidak terungkap sehingga kiamat.

“Prove it. Tunjukkan la keromantikan de amour awak tuuuu…” sakat Adrina lagi. Minah ni nak kena ni… Aku segera berpaling mengadapnya dan memegang kedua bahu Adrina.

“Hohohooo… Now we’re talking! Okey… Lepas ni apa pulak?” cabar Adrina. Aku hanya mendiamkan diri sedangkan mataku tepat tertancap pada pandangannya.

“Tak rasa apa-apa puuun…” sakat Adrina lagi.

“Rina. Saya berasa sangat bertuah kerana ditakdirkan bertemu dengan awak… mengenali awak… menyayangi dan akhirnya mencintai awak… dan kalaulah ianya membuatkan saya menderita, maka ianya adalah lebih baik dari saya hidup bahagia tanpa merasai cinta yang sebegitu rupa.” Sebaik sahaja aku mengungkapkan kata-kata tersebut kesemua yang berada di sekeliling kami berdua seakan-akan senyap secara mutlak. Tapi memang pun, sebab diorang semua tergamam!

“Wow…” Aku berpaling ke arah empunya suara tadi. Ianya milik Alisha, teman wanita Nizam. Aku memandang pula ke arah Nizam. Ternyata sahabatku membuat muka kurang enak sambil menggelengkan kepala. Memang tak patut pun aku mengungkapkannya. Bodoh betullah aku ni! Kecik-kecik dulu mak aku bagi makan otak kerbau ke?

“I like that. Romantik. Memang romantik. Tentu ramai gadis yang makan hati dengan Arip nanti.” puji Adrina dengan senyuman lembut. Aku pula berasa kurang selesa kerana gagal membaca perasaan di sebalik senyuman tersebut.

“Habislah you Nizam…” usik Adrina sambil memandang ke arah sahabatku.

“Apa pulak? Aku pun romantik jugak, apa?” tingkah Nizam dengan perasaan kurang senang. Adrina ni… Kenapa dia nak cari pasal dengan Nizam pulak ni? Kan aku dah bagitau yang Nizam tak sukakan dia?

“Okay. Say something romantic to me.” Tiba-tiba Alisha mengutarakan permintaannya. Nizam tergamam. Begitu juga aku. Adrina tertawa kecil.

“Aaa… Er… My life’s incomplete without you by my side.” ujar Nizam dengan gaya tak keruan. Oro? Ini pertama kali aku melihatnya sebegitu rupa.

“Hmm… Not bad. Mungkin kawan sayang lagi romantik sebab dia dah lama into relationship dengan girlfriend dia.” komen Alisha. Serentak dengan itu Nizam dan Adrina tertawa. Aku pulak terkedu.

“What’s going on?” tanya Alisha.

“I’m not his girlfriend. Just a good friend. Macam Nizam juga.” maklum Adrina.

“So you sanggup cakap macam tu pada kawan perempuan you? You’re so mean, man!” kritik Alisha dengan keras terhadapku. Celaka punya betina! Baharu aje kenal dah pandai melampiaskan kata-kata yang berbisa kepadaku. Tapi yang sialnya cakap dia memang betul! Aku memang kejam sebab cakap begitu pada seorang perempuan yang menyukaiku sedangkan aku menganggapnya sebagai seorang kawan sahaja.

“Don’t ever use that kind of tone to my best friend, okay?” ujar Nizam dengan nada bengang terhadap teman wanitanya. Alisha tergamam. Adrina pula perlahan-lahan mendekati mereka berdua.

“Arif selamatkan saya. Saya tak layak diselamatkan atas apa yang saya buat padanya. Tapi dia tetap selamatkan saya. You cakap begitu tadi sebab you tak tahu. Ianya boleh dimaafkan. Tapi sekarang you dah tau. Jadi janganlah cakap begitu lagi pada orang yang telah menyelamatkan saya.” Begitu lembut sekali ungkapan Adrina. Namun bagiku ianya lebih menakutkan dari kata-kata Nizam. Dari reaksi wajah Alisha, nampaknya beliau juga sependapat denganku.

“Okey! Okey! Jangan marah Alisha lagi. Dia tak bersalah dalam hal ni. Aku yang bersalah. Nizam… berbaik-baik semula dan peluk ciumlah girlfriend kamu tu.” ujarku untuk menenangkan keadaan. Aku berpaling pula ke arah Adrina.

“I’m sorry. Maafkan saya, ya?” pintaku. Adrina tersenyum. Manis sekali senyumannya.

“Sebenarnya Rina suka dengan kata-kata Arip tadi. Okey. Cakap satu lagi benda yang romantik. Baru boleh dikira mintak mahap.” Nampaknya Adrina masih mengusikku. Atau mungkin juga beliau mahu menunjukkan bahawa beliau sebenarnya tidak kisah dengan perbuatanku tadi.

“Okey… Kini saya tak perlu lagi memandang ke langit untuk melihat keindahan kerdipan bintang-bintang kerana ianya terzahir pada kedua mata bening Rina.” ujarku.

“Whoa…” ujar Alisha.

“Whoa indeed… Rina dah cair ni, Arip! Oh my Goood!” teriak Adrina dengan perasaan teruja bercampur malu. Beliau kemudiannya tertawa manja. Pandangannya kemudian dijuruskan ke arah Nizam. Pandangan menyindir.

“Hantu kau, Rip!” bentak Nizam sambil memandang dengan perasaan bengang ke arahku. Kecuali Nizam, kami semua tertawa.

*********************************************************************
Savoir-Faire, lebih kurang 1 jam kemudian…


“Wauu… Eksklusif la tempat ni.” komen Alisha. Aku pun tergamam melihatnya. Ianya lebih pada kelab malam elit berbanding dengan bistro-bistro yang kami biasanya sondol dulu. Tapi macam kelab orang tua la…

“Mana Arip tau tempat ni?” tanya Adrina. Kelihatan beberapa pasang mata mengekori langkah kami ke meja yang telahpun ditempah. Dari pemakaian mereka, berkemungkinan besar mereka datang ke sini dari tempat kerja. Nampak macam ekssutif syarikat atau lawyer aje…

“Member saya yang rekemen. Siap dia tempahkan.” jawabku.

“The atmosphere is great. Tapi macam kelab untuk orang-orang berumur laa…” komen Adrina pula. Oro? Dia pun sependapat denganku?

“Entahnya! Macam tempat elit aje. Tentu cajnya mahal…” komen Nizam pula. Matanya sempat mengenyit ke arah salah seorang eksekutif perempuan yang juga sedang mengutuskan senyuman ke arahnya tatkala pandangan Alisha terarah ke lain. Sempat lagi tu… Buaya Kelas A sungguh!

“Jangan risau la! Kawan aku tu yang belanja. Dia akan join kita sekali. Tapi mungkin sekejap.” maklumku.

“Mana pulak laa kau kenal orang macam tu? Tentu dia loaded gila.” komen Wadi pula.

“Aku berkenalan dengan dia masa kita tengah clubbing.” jawabku.

“Bila tu? Tak pernah aku teringat kau menyembang dengan sesiapa kecuali dengan kami. Kau kelentong, ya?” tingkah Wadi dengan nada curiga.

“Just drop it, okay?” ujarku dengan nada kurang senang.

“Ceh! Sah kamu kelentong! Liar-liar… pants on fire!” kutuk Wadi. Kesemua mereka tertawa. Aku aje yang buat muka hero filem Tamil yang tak dapat menari dalam filemnya.

“Aku kenal dengan dia masa Nizam tengah mengayat Alisha. Kamu pulak Wadi… masa tu kau tengah BERAK!” balasku dengan suara yang lantang. Kami kemudiannya berdekah-dekah mentertawakan Wadi. Aweknya si Wawa jenuh menekup mulut. Kunun nak jaga hati balaknya le tu. Eleh… padan muka pun mat tempe tu. Cari geruh dengan aku lagi.

“Celaka kau. Malu la aku!” bentak Wadi. Kami terus mentertawakannya. Tiba-tiba handphone milikku berbunyi. Menandakan ada SMS yang baharu sahaja masuk. Aku segera melihatnya.

“I saw you guys just now. I guess our plan is now in motion.” Begitulah bunyi pesanan ringkas tersebut. Aku tersenyum. Namun ianya tidak kekal tatkala terasa lenganku disentuh dengan lunak.

“Siapa tu? Shaleen, ya?” tanya Adrina, si empunya jari-jemari yang masih memegang lenganku. Rakan-rakanku yang lain masih mengutuk dan mentertawakan Wadi. Aku tersenyum seraya menggelengkan kepala.

“Kawan misteri saya tu la. Saya panggil dia Marlboro Man.” jawabku dengan senyuman yang penuh bermakna.


- Bersambung -

Notakaki :

Sebenarnya mungkin ramai yang tak terperasankan bahawa setiap kali aku menukar gambar anakku yang berada di atas, maka pasti aku juga akan menukar gambar (atau gambar-gambar) yang berada kat bawah sinuuun... Tapi korang cuma dapat tengok ajelah. Nak copy-paste tak boleh. Eleh... bukannya korang nak pun kalau boleh buat begitu, ya tak?

Aku berasakan bahawa cerita Emo Hero sudah tiba ke fasa yang agak lembab. Ini bermakna bahawa berkemungkinan besar ia akan tiba ke penghujungnya lambat-laun nanti. Sahabatku si editor Liana meminta aku menghantar karya pertamaku bertajuk Pirate Lisfer kepadanya. Aku tak dapat menghantarnya atas dua sebab. Sebab pertamanya ialah aku tak siapkan lagi walaupun dah sampai ke episod penghujung. Sebab kedua ialah bila aku baca balik, aku rasa macam nak memaki hamun diri sendiri. Punyalah teruk gaya penulisan aku! Macam manalah aku dulunya boleh terperasan bahawa aku dah cukup hebat untuk bermain dengan bahasa sastera pada masa itu! Maluuuu siuuut...

Aku pasti suatu hari nanti bila aku membaca balik cerita Zero Hero, Emo Hero dan 'ahem' Hero (rahsia lagi), maka perasaan yang serupa akan menyelubungi diriku. Tapi perkara yang paling kubimbangi ialah aku tidak lagi mampu untuk membuat cerita yang baik sungguhpun gaya bahasaku pada masa itu mencecah ke tahap kesempurnaan. Maka dengan sebab itulah aku melabelkan diriku sebagai 'story teller' atau si pencerita dan bukannya 'penulis'. Aku harap ianya dapat mengingatkan diriku tentang tujuan asalku berkarya iaitu : Keseronokan... Dan kekayaan... Dan terkenal ramai aweks keliling pinggang...

Aiseh... aku memang la hipokrit kalau semata-mata kata demi keseronokan dan demi memperjuangkan sastera. Aku bukannya nak jadi lilin yang sanggup membakar dirinya demi orang lain. Tau sebabnya? Sebabnya ialah aku cumalah seorang si pencerita... bukannya penulis...